07 October 2011

Kisah Cinta Zulaikha dan Nabi Yusuf AS

Firman Allah swt:


وَقَالَ نِسۡوَةٌ۬ فِى ٱلۡمَدِينَةِ ٱمۡرَأَتُ ٱلۡعَزِيزِ تُرَٲوِدُ فَتَٮٰهَا عَن نَّفۡسِهِۦ‌ۖ قَدۡ شَغَفَهَاحُبًّا‌ۖ إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٣٠

Maksudnya: "Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Surah Yusuf (12:30)



Malam itu terasa sangat panas oleh Ra'il, wanita cantik yang biasa dipanggil Zulaikha. Dia sentiasa menghias cantik rupa paras, menghias diri dan sentiasa memakai bau-bauan. Kemudian dia berdiri, pagi dan petang di beranda istananya di atas Sungai Nil, dalam kegelisahan yang tidak jelas puncanya. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup tenang dan halus seakan-akan enggan mengusik ranting-ranting pepohon bunga yang mengelilingi beranda istana itu. Zulaikha memandang ke arah sungai dan airnya yang tenang dan sesekali wajahnya menoleh ke atas melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit mengelilingi bulan dan sebahagian sinarnya terlindung oleh awan.


Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampirinya dengan segelas jus buah untuknya tetapi dia menolak malah memerintahkan pelayannya supaya kembali. Nafasnya semakin menyesakkan, seolah-olah hampir mencekik lehernya. Dia sendiri tidak tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Dia adalah wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu benar, kerana sampai saat ini dia masih belum dikurniakan seorang anak.


Sebenarnya Zulaikha boleh sahaja mengambil anak angkat yang disukainya, kerana dia orang terkaya di negeri itu. Tetapi naluri keibuannya menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan melahirkan puteranya sendiri sebagaimana wanita-wanita lain, namun takdir menghendaki sesuatu yang lain kerana suaminya tidak mampu mengubah impiannya menjadi kenyataan.


Fikirannya berkecamuk. Zulaikha terlena dalam lamunannya sehingga suara halus suaminya tiba-tiba mengejutkannya: "Ra'il isteriku yang cantik, bergembiralah!" Suaminya berkata sambil menunjukkan sesuatu kepadanya.


Zulaikha menoleh ke arah suaminya, dan betapa terkejutnya dia ketika melihat suaminya datang bersama seorang anak kecil. "Siapa namamu?" Tanya Zulaikha.


Dengan suara yang hampir tidak kedengaran anak itu menjawab, "Yusuf".


Al-Aziz suami Zulaikha kemudian mengikutnya dari belakang seraya berkata, "Aku membelinya daripada rombongan yang menemuinya di sebuah telaga di padang pasir. Berikan kepadanya tempat dan layanan yang baik, boleh jadi dia kan bermanfaat kepada kita, ataupun kita anggap dia sebagai anak kita."


Zulaikha tidak mengetahui takdir apa yang akan berlaku antara dia dan anak itu pada hari-hari akan datang. Yang jelas Zulaikha amat menyenangi kedatangannya, hilang segala kesedihan yang ditanggung selama ini. Hari-hari berlalu pergi. Yusuf semakin membesar dan dewasa. Wajahnya semakin tampan. Zulaikha tidak mengerti apa perasaan yang meresap di hatinya setiap kali dia memandang wajah Yusuf. Kesedihan yg dihadapinya hilang apabila setiap kali memandang wajahnya.


Setiap malam tiba dan Yusuf ke kamar tidur, Zulaikha merasa ada sesuatu yg mengusik lubuk kalbunya, sehingga kadang kala dia bangun meninggalkan suaminya yang sedang tidur dan pergi ke pintu kamar Yusuf. Dia berdiri di pintu kamar beberapa ketika. Dalam hatinya timbul keraguan, apakah sebaiknya dia menghampiri Yusuf seperti yang diinginkannya, ataupun kembali kepada suaminya. Fikiran ini sering mengganggu hatinya semalaman sehingga sampai matahari pagi terlihat masuk daripada celah-celah jendela kamarnya. Apabila begitu barulah dia kembali ke kamar suaminya.


Setiap kali pandangan matanya bertemu dengan pandangan Yusuf, dia merasakan keinginan yang kuat untuk selalu berada di samping Yusuf dan tidak ingin berpisah dengannya buat selama-lamanya. Namun hati kecilnya berkata Yusuf tidak memendam perasaan yang sama sepertinya. Pertanyaan yang selalu mengusik kalbunya adalah adakah Yusuf memendam perasaan seperti yang dipendamnya? Meskipun hati kecilnya berkata bahawa Yusuf tidak menampakkan sikap seperti itu, dia tidak mahu mendengar jawapan itu.


Pada suatu petang, Zulaikha sudah tidak berdaya lagi memendam perasaan cintanya kepada Yusuf. Dia kemudian berdiri di cermin, mengagumi kecantikan rupa parasnya sambil berkata kepada dirinya sendiri : "Adakah di seluruh Mesir ini, wanita yang kecantikannya melebihi kecantikanku? sehingga Yusuf menghindari aku? Tidak boleh tidak, wahai Yusuf! hari ini aku akan menemuimua dengan segala macam pujukan dan rayuan sehingga engkau tunduk kepadaku".


Kemudian dia membuka almari dan matanya mengamati ke arah pakaian yang ada di dalamnya. Dia memilih salah satu gaunnya yang paling indah, berwarna merah dengan model yang boleh membangkitkan ghairah lelaki apabila memandangnya. Apabila gaun itu dikenakan di tubuhnya, sebahagian aurat yang seharusnya disembunyikan kelihatan. Itulah yang dikehendakinya. Kemudian dia memakai minyak wangi-wangian di sekujur tubuhnya yang menyebabkan seseorang lelaki akan ghairah apabila tercium baunya. Kemudian dia menyikat rambutnya dan dibentuk seindah-indah pada malam yang sunyi itu.


Selepas menyempurnakan dandanannya, Zulaikha mengamati keadaan sekelilingnya, sehingga dia benar-benar yakin tidak ada seorang pun pelayannya yang masih menunggunya di situ; semuanya sudah tidur di kamar masing-masing. Dia juga tahu suaminya sedang memenuhi undangan seorang hakim Mesir dan sibuk dengan urusan-urusannya, sehingga tidak mungkin dia akan kembali kepadanya sebelum fajar tiba.


Selesai segala-galanya, dia pergi ke kamar Yusuf. Dilihatnya pintu kamar itu tertutup dan lampunya sudah dipadamkan. Dengan perlahan dia mengetuk; satu kali, dua kali..dan tiga kali. Tidak lama kemudian Yusuf bangun dan menyalakan lampu, lalu membukakan pintu kamarnya. Alangkah terkejutnya Yusuf apabila melihat Zulaikha, isteri al-Aziz sudah berada di hadapannya. Tetapi baginda tidak berkata apa-apa kecuali diam menduduk.


Tiba-tiba Zulaikha masuk ke dalam kamar Yusuf, mendekatinya dan memgang tangannya sambil menutup pintu kamar. Zulaikha merasa gelisah, ketakutan serta tidak membalas pandangan mata Yusuf. Dia berpaling ke arah Yusuf, sedangkan Yusuf berusaha menjauhkan diri daripadanya.


Zulaikha berkata kepadanya, "Apakah maksud semua ini wahai Yusuf? Janganlah engkau menjauhkan dirimu daripadaku sehingga menyebabkan aku binasa kerana merinduimu."


Yusuf diam tanpa memberi apa-apa jawapan. Zulaikha mendekatinya lagi sambil berkata, "Aduhai Yusuf, betapa indahnya rambutmu!"


Yusuf menjawab, "Inilah sesuatu yang pertama kali akan berhamburan daripada tubuhku selepas aku mati."


"Aduhai Yusuf, betapa indahnya kedua-dua matamu!" Zulaikha terus memujuknya. "Kedua-duanya ini adalah benda yang pertama kali akan lepas daripada kepalaku dan akan mengalir di muka bumi!" Yusuf berkata lagi.


Zulaikha terus menggodanya, "Betapa tampannya wajahmu Yusuf." "Kelak, tanah yang akan menghancurkannya," Yusuf membalas.


Kemudian Zulaikha berkata kepada Yusuf, "Tubuhku sudah terbuka kerana ketampanan wajahmu." "Syaitan menolongmu melakukannya!" Yusuf berkata lagi. "Yusuf, bagaimana harus aku harus mendapatkan apa yang selama ini kudambakan, dan kini aku datang kerananya," Zulaikha merayu lagi.


Yusuf membalas, "Ke manakah aku akan lari daripada murka Allah sekiranya aku menderhaka kepada-Nya?" Sedarlah Zulaikha bahawa Yusuf benar-benar tidak mahu memnuhi apa yang dia inginkan. Dia mendekatinya lagi, bahkan lebih dekat kepadanya dan meletakkan badan Yusuf di atas dadanya. Dia berharap Yusuf akan tertarik kepadanya dan mahu memenuhi keinginannya. Tetapi, di luar dugaannya, Yusuf menolak malah menghindarkan diri daripadanya dan segera berlari hendak keliar dari kamar itu.


Zulaikha tidak mampu berfikir mengapa Yusuf begitu keras mempertahankan kesuciannya di hadapan wanita secantik Zulaikha yang sedia melayaninya, bahkan lari menjauhkan diri daripadanya. Zulaikha mengejar Yusuf dari belakang bagi mmemaksanya. Ketika dia mendekati Yusuf, dipegangnya bahagian belakang baju Yusuf dan ditariknya dengan kuat. Dengan rasa marah, Zulaikha melarang Yusuf keluar dari kamar. Akhirnya, bahagian belakang baju Yusuf koyak.


Pada masa yang sama, al-Aziz sudah berada di hadapan mereka berdua, bersama-sama sepupu Zulaikha. Dengan serta-merta Zulaikha berkata, "Apakah hukuman bagi orang yang berbuat jahat kepada isterimu, selain dipenjarakan ataupun dihukum dengan seksaan yang pedih?"


Zulaikha bermaksud menyatakan Yusuf cuba melakukan sesuatu yang melampaui batas ke atas dirinya. Al-Aziz berasa sangat marah atas apa yang berlaku. Ini kerana dia tidak menduga perlakuan itu akan dilakukan oleh Yusuf, seorang anak terlantar yang dibelinya, dipelihara dan dikasihaninya seperti kasih sayang seorang ayah kepada puteranya sendiri. Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku?


Yusuf sedar Zulaikha berdusta dan menuduhnya dengan tuduhan palsu. Zulaikha segera berkata kepada al-Aziz, "Dia menggodaku supaya menyerahkan diriku kepadanya".


Ternyata Allah mahu Yusuf bebas daripada tuduhan wanita itu, anak salah seorang ahli keluarga Zulaikha ketika itu datang ke istana tiba-tiba berkata, "Sekiranya bajunya koyak di bahagian depan maka wanita itu berkata benar dan Yusuf termasuk dalam golongan orang-orang yg berdusta. Sekiranya bajunya koyak pada bahagian belakang, wanita itulah yang berdusta.


Mendengar kata-kata itu al-Aziz segera menghampiri Yusuf dan memeriksa bajunya, dan mendapati baju Yusuf koyak di bahagian belakang akibat ditarik oleh Zulaikha, mengertilah al-Aziz bahawa isterinya itu berlaku khianat kepadanya dan Yusuf bersih daripada tuduhan. Kemudian dia berkata, "Sungguh, inilah tipu muslihatmu. Sungguh dahsyat tipu muslihatmu".


Al-Aziz memandang Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, pergilah dari sini".


Tujuannya ialah supaya Yusuf tidak menghebahkan perkara aib ini. Kepada isterinya dia berkata, "Dan kamu, wahai isteriku mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan orang yang berbuat salah".


"Celakalah kamu Yusuf!" Zulaikha berkata dengan nada marah kerana Yusuf menolak kecantikan dan kebesarannya.


"Tidak! Aku tidak akan membiarkanmu, Yusuf. Aku akan mencari jalan lain untuk mendapatkanmu, memperdayakanmu, sehingga engkau memenuhi apa yang aku kehendaki..".
Hari-hari berlalu, al-Aziz yg kalah dalam mengadili kejadian aib itu berusaha memujuk Zulaikha supaya menghadapi kenyataan, sementara isterinya membantahnya. Dia tahu setiap kali dia menampakkan kebenciannya kpd al-Aziz, suaminya itu akan benar-benar berusaha mendekati dan memujuknya kerana dia sangat mencintai Zulaikha.


Yusuf sendiri akhirnya berdiam diri sepanjang hari di dalam kamarnya kerana peristiwa yang memalukan itu. Dia hanya keluar apabila ada urusan penting yang ditugaskan oleh tuannya, al-Aziz.


Hari-hari yang dilalui menghantui Zulaikha. Dia sentiasa menanti peluang untuk kembali menjalankan tipu dayanya terhadap Yusuf, kerana apa yang berlaku itu semakin menambah cintanya dan keinginnya untuk menjalinkan hubungan dengan Yusuf, meskipun secara terang-terangan dia mendustakan Yusuf di hadapan suaminya bagi menghilangkan keraguan suaminya terhadap dirinya.


Hari demi hari dilalui oleh Zulaikha terasa amat lambat berlalu. Di kota, beberapa peristiwa yang tidak terduga terjadi. Wanita-wanita di Mesir pada ketika itu sentiasa berbicara tentang peristiwa aib yg berlaku. Sungguh menghairankan bagaimana boleh tersebar hingga ke kota, pada hal semua pihak di istana al-Aziz telah berusaha merahsiakannya. Mungkin cerita itu disebarkan oleh pelayan lelaki atau pelayan wanita istana yang ada hubungan keluarga dengan mereka.


Ibu kota Mesir bergema dengan kisah ini. Dalam setiap kelompok wanita tidak ada perkara lain yang dibicarakan. Akhirnya berita itu sampai ke telinga Zulaikha. Sudah tentu hal ini menimbulkan kemarahannya. Namun dia tak dpt menghalang orang-orang bercerita tentang hal itu. Dia terpaksa menerima kenyataan yang pahit itu dengan hati yangg pedih, "Betapa perjalanan hidupku seperti sepotong roti yg berada di dalam mulut wanita-wanita kota yang dipenuhi cemuhan dan ejekan", keluhnya dalam hati.


"Padahal hari-hari sebelumnya tiada siapapun yg berani menyebut namaku kecuali dengan segala penghormatan dan kemuliaan". sambungnya lagi.


Setelah jiwanya goncang dengan kemarahan Zulaikha menjadi tenang semula, lalu berbicara dengan dirinya, "Aku wanita, dan mereka juga wanita. Mereka harus juga terima penghinaan sebagaimana penghinaan yang mereka tujukan kepadaku. Sekiranya mereka mempeolok-olokkan aku dgn lidah mereka, sesungguhnya olok-olokku nanti akan lebih keras ke atas diri mereka..".


Zulaikha menuju ke beranda yang menghadap ke Sungai Nil. Di tepi sungai itu, sementara angin lembut menerpa pepohonan bunga yang mengelilingi istana, mengharumi udara sekitarnya, dia mulai bermenung dan berfikir.


Tidak lama kemudian wajahnya kelihatan berseri kemudian mulutnya mulai tersenyum. Dia sudah menemui suatu cara penyelesaian kepada masalahnya. Ya! Mengapa dia tidak menghentikan cemuhan wanita-wanita itu kepada dirinya dan Yusuf dalam satu pertemuan terbuka? Mengapa dia tidak memanggil wanita-wanita itu duduk bercakap-cakpa lalu dia perintahkan Yusuf keluar menampakkan dirinya di hadapan mereka? Nanti mereka akan sedar mengapa Zulaikha jatuh hati kepada anak angkatnya.


Zulaikha menjemput semua kaum wanita ke istananya untuk bergembira. Mereka dipersembahkan dengan pelbagai buah-buahan dan masing-masing diberikan pisau sebagai alat untuk memotongnya. Zulaikha ingin melihat apakah yang akan terjadi kepada mereka ketika Yusuf muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah mereka.


Kebanyakan wanita bangsawan di Mesir berasa hairan dengan jemputan isteri al-Aziz itu. Mereka menyaksikan suasana berlainan daripada biasa. Ruangan istana dihias indah. Mereka yang hadir dipersilakan duduk di atas kerusi yg indah. Di hadapan masing-masing terhidang sepinggan buah-buahan serta sebilah pisau pemotong.


Tetamu memandang kepada apa yang ada dalam ruangan istana, masing-masing membisu kerana tidak berani berbicara dengan jelas. Zulaikha pun membuka acara. Bicaranya hanya berkisar kepada buah-buahan yang terhidang dan aturcara majlis tidak sedikitpun menyentuh tentang peristiwa yang berlaku antara dia dan Yusuf. Dia menyatakan bahawa apa yang dilakukan kepada mereka ini adalah sebagai kejutan.


Ada di antara tetamu itu menyindir Zulaikha. Dengan cara yangg bijak dia bercerita tentang seorang perempuan yang jatuh cinta dan mati dalam kesedihan kerana lelaki yang meminangnya mati dalam peperangan. Pun begitu Zulaikha lebih bijak. Dia mengalihkan perbicaraan mereka kepada sesuatu yang lain. Dia berkata kpd Yusuf. "Keluarlah, tunjukkan dirimu kepada mereka".
Yusuf keluar dari tempatnya menuju ke majlis yang dihadiri oleh kaum wanita yang menjadi tetamu Zulaikha itu. Betepa terkejutnya mereka apabila melihat ketampanan Yusuf. Mereka tercengang kehairanan. Tanpa disedari, mereka terpotong jari-jari mereka dengan pisau. Mereka fikir mereka sedang memotong buah padahal darah yang mengalir dari tangan mereka. Lama-kelamaan mereka sedar apa yg mereka lakukan kemudian berkata. : "Maha Besar Allah Ini bukanlah manusia. Dia adalah malaikat yang mulia."

Ketika itu wajah Zulaikha berubah kerana marah. Dia berkata sambil menunjuk kepada Yusuf, "Itulah org yg menyebabkan aku dicela kerana tertarik kepadanya. Sesungguhnya aku begitu menginginkannya tetapi dia menolak. Sekarang jika dia tidak mengikuti apa yang aku perintahkan, dia akan dipenjarakan dan akan menjadi orang yang hina".

Yusuf mendengar apa yang dikatakan Zulaikha dengan tenang dan tabah. Dia juga tahu keinginan setiap wanita yang hadir sama seperti keinginan Zulaikha kepadanya. Sambil berlindung kepada Allah, Yusuf berkata, "Tuhanku! Penjara lebih kusukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan sekiranya Allah tidak hindarkan aku daripada tipu daya mereka pasti aku akan tertarik kepada mereka. Dan tentulah aku termasuk orang-orang yang jahil. Sesungguhnya Allah swt akan meneguhkan iman hamba-hambaNYa yang mukmin yang berpegang dengan kebenaran yang diperintah olehNya.."

Allah swt memperkenankan doa Yusuf, dan Dia melindungi tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui.

Wanita-wanita itu akhirnya pulang dengan tangan yang berlumuran darah. Akhirnya mereka sedar Zulaikha terhalang cintanya kepada Yusuf. Yusuf kemudiannya beredar meninggalkan ruangan itu dan Zulaikha puas kerana dapat membalas penghinaan wanita-wanita tersebut.

Tetapi setelah lama berfikir, dia sedar perasaan yg ditanggungnya selama ini adalah sesuatu yang berat buatnya. Dia bercakap dengan dirinya sendiri, "Yusuf menghindarkan dirinya kepadaku sebanyak dua kali; sekali di kamarnya dan sekali di hadapan wanita-wanita kota. Sesungguhnya wanita-wanita kota itu juga mencintai Yusuf sama seperti diriku, tetapi semuanya tidak memperoleh sesuatu daripadanya. Ancamanku kepadanya pun tidak ditakuti. Celakalah engkau meskipun aku mencintaimu".

Zulaikha pergi menemui suaminya kemudian suaminya bertanya tentang jamuan yang diadakan. Zulaikha memberitahu bahawa jamuan itu menambahkan keburukan kepadanya.

"Bagaimana hal itu boleh terjadi?" Tanya al-Aziz.

"Sekiranya Yusuf tidak disembunyikan daripada istana dan kota, dia akan selalu berbicara mengenai apa yang memburukkan aku.." Zulaikha menjawab.

Al-Aziz mendekati isterinya sambil berkata, "Bagaimana engkau boleh merelakan sesuatu yang memburukkanmu?"
Tubuh Zulaikha gementar. Kemudian dia berkata, "Kalau begitu penjarakan Yusuf, sehingga semua orang melupakannya".

Al-Aziz menyetujui cadangan isterinya itu. Tidak lama kemudian, beberapa orang pengawal istana membawa Yusuf ke penjara. Tatkala Yusuf keluar dari pintu istana, Zulaikha berdiri di belakang jendela kamarnya sambil memandang ke arah Yusuf. Dia merasakan seolah-olah sebahagian daripada hatinya tercabut, meskipun dia yang mendesak suaminya supaya memenjarakan Yusuf.

Saban hari, kesedihan mewarnai wajah Zulaikha. Suaminya hanya boleh melihat dengan sikap diam dan tak boleh berbuat apa-apa. Wanita itu bertanya kepada dirinya sendiri, "Salahkah aku ketika aku menyuruh al-Aziz memasukkan Yusuf ke dalam penjara? Ya, kuharamkan diriku daripada melihat Yusuf.."

Sekali lagi dia berfikir dalam kegelisahannya, "Tetapi, apakah aku bersalah dalam urusan itu?"

Dia menyalahkan dirinya sendiri untuk melepaskan diri daripada azab, seperti seorang dermawan yang haus, tetapi tidak sanggup mencedok air yang dipikul di bahunya sendiri. Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu tanpa sunyi daripada cerita Zulaikha dgn Yusuf.

Pada suatu hari utusan raja datang, memerintahkan Zulaikha supaya datang ke istana. Zulaikha sangat hairan sebab perkara seperti itu belum pernah terjadi sebelumnya. Dia bertanya kepada suaminya apa yang menyebabkan dia dipanggil ke istana. Al-Aziz menjawab, "Mungkin ada urusan dgn Yusuf". Mendengar nama itu hilang segala dugaan, tetapi benarkah raja mahu berbicara dengannya mengenai Yusuf?

Dgn pelbagai pertanyaan bersarang di benaknya, Zulaikha pergi ke istana. Dia mendapati wanita-wanita yang sudah terpotong tanggannya ada di sana semuanya menghadap Raja Mesir. Baginda memandang kepada semua wanita itu dan bertanya satu persatu, "bagaimanakah keadaan kamu ketika menggoda Yusuf supaya menuruti kehendakmu?"

Mereka menjawab serentak, "Kami dapati tidak ada satupun keburukan yang ada padanya"

Tiba2 tanpa diminta oleh raja, Zulaikha berbicara. Dia merasakan sudah tiba masanya untuk berterus terang, supaya beban dosa yang ditanggungnya kesan daripada perbuatannya terhadap Yusuf hilang. Di hadapan wanita-wanita dan raja Zulaikha berkata, "Sekarang jelaslah kebenaran itu. Akulah yang menggodanya supaya tunduk kepadaku dan sesungguhnya dia termasuk golongan orang-orang yang benar".

Yusuf berkata, "Yang demikian itu supaya al-Aziz mengetahui apa yang sesungguhnya aku tidak khianat kepadanya di belakangnya, dan bahawasanya Allah tidak akan merelakan tipu daya manusia yg khianat. Aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberikan rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang".

...............................................................................................................................................................
Terdapat perbezaan pendapat mengenai kehidupan Zulaikha selanjutnya. Sebahagian orang berpendapat sejak itu Zulaikha hidup dalam kesedihan dan putus asa kerana ingatannya kepada Yusuf. Sebahagian yang lain pula berpendapat Zulaikha akhirnya berpindah ke suatu tempat yang jauh yang berutanya tidak diketahui sama sekali. Yang jelas kehidupan Zulaikha terganggu kerana cintanya kepada Yusuf.

Namun ada yang mengisahkan selepas peristiwa itu Zulaikha bertaubat kpd Allah swt. Ketika Yusuf diutus menjadi rasul dan menjadi penguasa menggantikan al-Aziz baginda bertemu dengan Zulaikha yang ketika itu sudah tua. Akhinya Allah swt menjadikan Zulaikha muda remaja dan dikahwinkan dengan Nabi Yusuf. Zulaikha akhirnya menjadi wanita solehah yang sentiasa beramal kpd Allah swt.

1 comment:

  1. Subhanallah,,,,diriku sudah membaca kisah kedua beliau tersebut..
    sesungguhnya hatiku ikut miris dan sedih mengetahui ada kisah cinta yang besar dalam penuh penderitaan seperti yang dialami Zulaikha, semoga Allah memberkahi mereka bahkan di surga sekalipun. Amin.

    ReplyDelete