11 August 2010

Berakhirnya Sebuah Pertemuan.


Kringggg!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat baru bermula. Pelajar-pelajar lain sudah  keluar dari kelas masing-masing dan mula membanjiri kawasan kantin sekolah.

Syuhada hanya mampu menenangkan sahabatnya di sebelah. Dia tahu betapa menderitanya sahabat baiknya itu, namun sebagai insan biasa dia tidak berdaya memberikan bantuan. Hanya sokongan dan semangat yang mampu dihulurkan kepada insan setabah sahabatnya.
 

"Leana, jom kita pergi kantin. Leana kena makan sikit. Nanti Leana kena makan ubat," pujuk Syuhada walaupun dia tahu sahabatnya itu akan  menolak. Muka Leana yang pucat lesi ibarat tidak berdarah itu menggigit tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak kuat melihat keadaan sahabatnya sebegitu. Tanpa disedari kolam matanya pecah juga. Ada tangisan halus yang mengiringi air mata tersebut.
 

"Syuhada, kenapa ni? Janganlah menangis. Leana tak nak kawan-kawan Leana menangis sebab Leana. Lebih-lebih lagi Syuhada, sahabat baik Leana dunia akhirat, Insya-Allah," hati Leana bergetar menahan sendu yang berlabuh. Dia tahu perasaan Syuhada tika itu, namun sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia fana ini, dia akur dan pasrah atas segala takdir.


***********


Perkenalan mereka semenjak minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru membuahkan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini. Mereka amat serasi bersama memandangkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Hidup yang suram gara-gara terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga akhirnya diwarnakan dengan suka duka dalam bersahabat. Leana dan Syuhada sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan mereka berdua.
 

Ramai kawan mereka kagum melihat persahabatan mereka berdua. Keakraban mereka yang boleh diibaratkan sebagai isi dengan kuku itu menyebabkan ramai yang menggelar mereka sebagai adik beradik. Segala susah senang, sakit perit mereka dirasakan bersama. Andai salah seorang daripada mereka sakit, seorang lagi akan turut sakit menahan sebak di hati.
 

Syuhada termenung lagi. Sejak akhir-akhir ini dia semakin bimbang akan kesihatan Leana. Jika dahulu sahabatnya itu seorang yang ceria, kini segalanya seakan berubah. Walaupun ada senyuman yang terukir di bibir Leana, dia tahu segala derita yang ada di sebaliknya. Dia cuba berlagak tenang dan kuat ketika berhadapan dengan Leana tetapi jauh di lubuk hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.
 

"Leana, tadi Cikgu Shahanim ada pesan, kalau Leana sakit, jangan paksa diri pergi kelas, kalau ada apa-apa berlaku susah. Syuhada tak nak something happen kat Leana," kata-katanya hanya dijawab dengan pandangan mata Leana. Seperti biasa Leana hanya membiarkan bibirnya dihiasi dengan senyuman ikhlas yang selalu diukirkannya.
 

"Syuhada, insya-Allah, Leana pun tak nak something bad happen, tapi kita kena ingat, walau apapun yang telah berlaku atau yang akan berlaku, segalanya datang daripada Allah. Kita kena terima dan redha," nafasnya ditarik perlahan sebelum kembali berkata-kata.
 

"Syuhada, maafkan Leana ya, sebab dalam tempoh setahun ni Leana banyak menyusahkan Syuhada, dan terima kasih jugak sebab Syuhada selalu ada di sisi Leana. Jasa dan pertolongan Syuhada selama ni mungkin Leana tak sempat nak balas, hanya.."
 

"Leana, janganlah cakap macam ni. Leana tak menyusahkan Syuhada pun," Syuhada pantas memintas kata-kata sahabatnya itu. Dia tidak sanggup untuk mendengar bait-bait kata yang ingin disampaikan oleh Leana.


 ***********


Seperti biasa keluarga Leana akan datang melawat pada hujung minggu. Syuhada pula akan menemani Leana. Hubungan Syuhada dengan keluarga Leana juga semakin baik hari demi hari. Ibu dan ayah Leana sangat berterima kasih kepada Syuhada kerana telah banyak menolong dan memberikan kata-kata semangat kepada anak perempuan tunggal mereka. Hati ibu mana yang tidak sebak apabila melihat penderitaan si anak. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menjaga Leana sepenuh masa tetapi dia tidak berdaya. Memandangkan Leana bersekolah di sekolah berasrama, mereka sekeluarga pasrah. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya Leana mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Syuhada.
 

"Leana, dengar cakap ibu sayang," ada titis air di tubir mata ibunya.
 

"Leana mesti jaga diri baik-baik tau. Ubat tu mesti makan. Kalau Leana sakit, beritahu ibu, beritahu warden. Kalau boleh ibu nak sangat jaga Leana. Ibu sedih tengok anak ibu tanggung sakit sorang-sorang," pelukan dieratkan diiringi dengan tangisan yang berpanjangan. Syuhada yang tidak dapat menahan kesedihannya juga turut menitiskan air mata . Begitu juga dengan ayah dan adik-beradiknya.
 

"Ibu, insya-Allah, Leana akan dengar nasihat ibu tapi ibu kena janji dengan Leana. Ibu janganlah nangis. Leana tak sanggup tengok ibu nangis sebab Leana. Ayah, jaga ibu baik-baik. Jangan bagi ibu lemah semangat, boleh ayah? Ibu?" ibu dan ayahnya hanya mampu mengangguk lemah.
 

"Syuhada, terima kasih atas segala-galanya. Ibu harap Syuhada boleh tolong tengok-tengokkan anak ibu. Kalau ada apa-apa berlaku, tolong beritahu ibu ye," Syuhada mengangguk perlahan seraya tunduk menyalami tangan milik ibu Leana. Hubungan yang baik antara mereka menyebabkan ibu Leana tidak segan membahasakan dirinya sebagai 'ibu' dengan Syuhada.


*****************


"Leana, kenapa ni? Leana sakit lagi ke?" Syuhada semakin risau melihat keadaan Leana yang semakin teruk. Dia mula hairan dan bimbang jika ada sesuatu yang akan menimpa Leana.
 

"Leana, jom kita pergi hospital. Syuhada tengok Leana dah teruk ni, selalu je sakit kepala, muntah-muntah, kita pergi hospital ok?" Syuhada sudah tidak mampu berlembut dengan Leana. Sudah banyak kali dia cuba memujuk Leana untuk pergi ke hospital. Namun jawapannya tetap sama.
 

"Syuhada, Leana okeylah. Cuma sakit kepala biasa je ni. Nanti lepas makan panadol okeylah," Leana hanya senyum segaris.
 

"Tak boleh. Hari ni Leana kena dengar juga cakap Syuhada. Kita mesti pergi hospital hari ni. Leana tunggu sekejap. Syuhada nak inform  kat warden," pandangan Leana mengiringi langkah sahabatnya.
 

"Dah lama ke sakit ni?" doktor di hadapan memulakan bicara sambil mencatat sesuatu dalam buku laporan kesihatan.
 

"Ermm, agak lama jugak la, tapi dulu tak sakit macam ni. Sekarang ni sakit sangat-sangat. Kadang-kadang tak boleh nak tahan," Syuhada menggengam erat tangan sahabatnya. Dia berdoa agar tiada perkara buruk yang akan berlaku.
 

"Selera makan macam mana? Okey?"
 

"Entahlah doktor tapi sekarang ni memang tak boleh makan sangat, selalu je tak ada selera," doktor mengangguk perlahan sambil meneruskan catatan.
 

"Ermm doktor, maaf mencelah, tapi saya nak tahu kenapa hidung Leana berdarah. Kadang-kadang gusi pun sama," doktor mula memandang Leana.
 

"Kita buat 'blood test' dulu, nanti kita tengok macam mana," Leana dan Syuhada saling berpandangan. Mereka mula merasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena.


**************






"Leana, saya harap Leana akan bersabar, mungkin apa yang bakal saya sampaikan terlalu susah untuk diterima, tapi saya yakin Leana seorang yang kuat,"
 

Berita yang disampaikan oleh doktor agar sukar untuk diterima. Sudah kering air matanya mengenangkan perkara tersebut. Namun, dia beristighfar panjang. Leana sedar segalanya telah ditentukan oleh Allah Pencipta Alam. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Akhirnya dia redha atas segala-galanya.
 

"Hasil dari blood test yang telah dibuat, saya dapati Leana menghidap penyakit leukemia," Leana dan Syuhada sangat terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Bagaikan hendak luruh jantung mereka. Leana hanya mampu memandang Syuhada dengan pandangan kosong yang sukar untuk ditafsirkan.
 

"Pada mulanya saya ingatkan result tu salah. So saya dah buat test tu 2 kali dan hasilnya memang positif. Saya harap Leana  banyakkan bersabar ya," doktor itu dapat melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka. Lidah mereka juga kelu untuk berbicara, mungkin masih terkejut dengan berita yang diterima.
 

"Penyakit ni dah peringkat kedua, dan mungkin kejam kalau saya cakap penyakit Leana ni dah nak sampai peringkat ketiga,"
 

"Kalau kita dapat kesan dari awal-awal, mungkin sempat untuk kita berikhtiar. Leana akan selamat kalau ada sum-sum tulang yang sesuai, tapi sekarang ni, agak susah untuk kita dapatkan sum-sum tulang yang sesuai, tapi insya-Allah, tak mustahil untuk sesuatu berlaku jika diizinkan oleh Allah,"
 

"Leana, Leana!!" Syuhada hairan melihat Leana yang jauh termenung. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh sahabat baiknya itu. Setiap kali dia melihat wajah pucat Leana, pasti rasa sedih bertamu di hatinya. Sebagai hamba Allah yang lemah, dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu diberikan kekuatan dan dipanjangkan umur.
 

"Eh, Syuhada, maaflah, Leana tak perasan tadi," Leana tersedar. Dia tahu dia harus kembali ke alam nyata. Berita tentang penyakitnya yang diterima sejak hampir setahun yang lalu sering mengganggu ketenangannya. Bukan dia tidak menerima takdir Allah tapi dia takut. Dia takut untuk menghadapi sakaratul maut. Bagi dirinya, bila-bila masa sahaja Malaikat maut akan menjemputnya kembali kepada Yang Esa. Mungkin esok, minggu depan dan mungkin juga tahun hadapan. Memikirkan hal itu, dia dirundung kesedihan. Dia sedih kerana andainya telah ditakdirkan dia akan pergi dalam tempoh terdekat ini, dia sudah tidak dapat sujud kepada Allah Ta'ala, dia tidak lagi dapat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Dia juga takut apabila memikirkan adakah cukup amalannya selama ini untuk dihadapkan di hadapan Allah.  


"Ya Allah kau ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, dosa-dosaku, dosa seluruh ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin serta muslimat. Kau matikanlah aku dalam iman dan Islam," detik hatinya.


********************


"Assalamualaikum, Syuhada," hati Syuhada berdegup kencang sebaik sahaja menerima panggilan ibu Leana.
 

"Waalaikumussalam, ibu, kenapa ibu, Leana sakit ke?" Irna semakin gelisah apabila terdengar esakan halus dari corong telefon. Dia tahu ibu sedang menangis.
 

"Syuhada, boleh tak Syuhada datang ke rumah ibu sekarang. Leana, nazak,"
 

Syuhada segera bertolak ke rumah Leana bersama-sama kedua-dua ibu bapanya. Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan bertahun lamanya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Sedaya upaya dia menahan perasaan agar bersabar tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Dia masih ingat pandangan Leana sewaktu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula. Pandangan Leana tika itu memang sukar untuk dimengertikan. Hanya air mata duka yang mengiringi perpisahan mereka saat itu. Kata-kata maaf yang diungkapkan oleh Leana juga masih segar di ingatannya.
 

"Syuhada, maafkan Leana ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Leana. Syuhada mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Syuhada mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Syuhada dengan ayah dan ibu terputus seandainya Leana pergi dulu. Satu perkara yang Syuhada kena ingat, Leana sayang Syuhada, sayang sangat-sangat,"
Syuhada tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis lagi. Kata-kata Leana tempoh hari betul-betul mengganggu fikirannya.


*****************


"Assalamualaikum," dengan lemah salam diucapkan. Langkah Syuhada lemah tidak bermaya. Kedatangannya disambut dengan tangisan dan pelukan ibu Leana. Dia dapat merasakan betapa eratnya pelukan itu. Hatinya pedih, jantungnya pula seakan berhenti berdegup.
 

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya apabila melihat seorang sahabat yang selama ini berkongsi susah senang dan suka duka bersamanya sedang terbujur kaku. Fikirannya ketika itu kosong. Bukan senang untuk menerima kenyataan itu. Kenyataan yang ternyata pahit untuk ditelan. Namun, dia pasrah dan redha dengan takdir Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman, dia mesti kuat dan bersabar menghadapi ujian hidup. Kata-kata arwah Leana kembali menerpa ingatannya.
 

"Syuhada, maafkan Leana ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Leana. Syuhada mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Syuhada mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Syuhada dengan ayah dan ibu terputus seandainya Leana pergi dulu. Satu perkara yang Syuhada kena ingat, Leana sayang Syuhada, sayang sangat-sangat."
 

"Insya-Allah Leana. Syuhada mesti kuat. Syuhada mesti tabah dan Syuhada pun sayangkan Leana. Sayang sangat-sangat," getus hatinya.


************


Arwah Leana sudahpun selamat dikebumikan. Perasaan sedih masih setia bertamu di hatinya. Dia masih ingat betapa susahnya untuk mencium dahi arwah Leana gara-gara air matanya yang tidak henti-henti mengalir. 'Sejuk'. Itulah yang dirasakannya  sewaktu mencium dahi arwah buat kali terakhir.
 

"Syuhada," dia tersedar dari lamunan. Ibu Leana di sebelah dipandang sayu. Apalah sangat kesedihannya jika dibandingkan dengan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Syuhada dapat melihat tubir mata ibu Leana masih digenangi air jernih.
 

"Ya ibu," tangan si ibu digengamnya seerat mungkin.
 

"Ibu jumpa surat ni atas meja arwah, untuk Syuhada," dalam sebak ibu Leana menuturkan kata-kata.
Tangannya terketar-ketar semasa membuka lipatan surat itu. Surat terakhir daripada seorang sahabat. Tanpa dapat ditahan, kolam matanya pecah lagi. Bagaikan baru semalam mereka dipertemukan, kenangan mereka bersama masih segar di ingatan.

Buat sahabatku Syuhada.

Assalamualaikum,

Leana bersyukur sangat-sangat sebab Allah telah mempertemukan kita, walaupun pertemuan kita hanya sekejap cuma tapi Leana tetap berterima kasih kepada Allah sebab melalui Syuhada, Leana berpeluang mengenali erti sahabat sejati Syuhada. Maafkan Leana atas segala kesilapan yang pernah Leana lakukan sepanjang persahabatan kita. Sebenarnya Leana pun dah tak tahu nak tulis apa. Kepala Leana sakit sangat ni tapi Leana tak nak tinggalkan Syuhada tanpa kata. Kalau boleh Leana nak sangat jumpa Syuhada. Takut nanti tak sempat. Mungkin sekarang ni Leana dah dipanggil menghadap Ilahi. Kalau boleh, Leana nak tengok Syuhada sebelum kita berpisah buat selama-lamanya tapi Leana  juga nak minta maaf kalau Syuhada hanya sempat tengok jasad kaku Leana. Bukan Leana nak tapi ingatlah mati itu pasti bagi setiap manusia. Leana harap, Syuhada akan bersabar. Tolong doakan Leana di sana ye. Sebenarnya, Leana takut sangat Syuhada. Leana takut mati. Leana takut amalan Leana  tak cukup tapi apakan daya, Leana dah tak boleh nak buat apa kalau dah takdir Leana akan pergi dulu. Cuma Leana harap Syuhada teruskan impian kita untuk jadi wanita solehah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah ibadah dan perintah Allah selagi masa masih ada sebab kita tak tahu bila sebenarnya ajal maut kita. Ingatlah sahabatku, kematian tidak akan menunggu sehingga seseorang itu bersedia untuk menghadapinya.

Buat tatapan Syuhada, Leana sempat tuliskan lirik lagu nasyid yang kita suka. Hayatilah setiap bait kata-kata yang ada pada lirik ni. Akhir kata doakanlah Leana di sana. Wassalam.

SEBUAH PERTEMUAN


Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

 
Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau nsanea rahmat-Nya mengatasi segala

 
Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

 
Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
  Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
  
  Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

 
Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

 
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman


Surat itu dilipat kembali. Matanya basah dengan air mata.
 

"Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," doanya di dalam hati.
 

"Semoga Syurga menjadi milikmu, sahabatku. Walaupun pertemuan kita di dunia fana ini telah berakhir, Syuhada berdoa agar kita dipertemukan kembali di Jannah-Nya. Amin."




No comments:

Post a Comment