26 March 2011

Dunia Persinggahan


Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: 
"Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)". Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau". (Riwayat Al-Bukhari)
Adakah anda akan membina segalanya di R&R Hentian Sementara?
Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari "sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia" (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.
Bekalan untuk dibawa ke destinasi?
Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal. ( Surah Al-Ghafir40, ayat 39 )
 (sumber: Iluvislam.com)

18 March 2011

Bagai Debu Berterbangan


Suara letusan gunung memekakkan telinga, binatang-binatang serta manusia mati bergelimpangan. Hutan-hutan musnah terbakar. Pada masa itu, orang akan melupakan anak yang sedang disusuinya. Manakala orang yang hamil akan gugurlah kandungannya pada masa itu juga, keadaan manusia pada masa itu seperti orang mabuk kerana goncangan bumi yang begitu kuat. Air laut menyimbah ke darat mengaramkan kota-kota itu hancur berkecai.
Tinggal Debu
Apabila matahari digulung cahayanya, bintang-bintang jatuh bertaburan ke bumi, Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu), unta-unta bunting ditinggalkan. Binatang-binatang berkumpul, laut mengganas. Bila roh disatukan, anak-anak perempuan yang dikubur hidup-hidup disoal. Apakah dosa mereka hingga mereka dibunuh (di zaman jahiliah). Apabila buku-buku kebajikan diedarkan, langit dicabul (Bintang-bintang dan planet tidak di tempatnya). Neraka mula dinyalakan, Syurga mula dibukakan. Setiap orang akan mengetahui apakah amalan yang telah mereka kerjakan. Aku (Allah) bersumpah menarik perhatianmu kepada bintang-bintang yang kelihatan kembali, dan beredar serta berlindung. Demi malam bila telah hampir tamat dan subuh mulai kelihatan. Sesungguhnya semua itu adalah perkataan Rasul yang mulia. Yang mempunyai kekuatan di sisi Arasy yang tinggi darjatnya. Yang dihormat dan dipercayai.
(Surah At-Takwir.- Ayat 1-21)
Surah ini menerangkan betapa hebatnya peristiwa kiamat. Cubalah kita bayangkan apabila matahari tidak bersinar, bintang-bintang berguguran jatuh ke bumi. Gunung-gunung yang pejal dari batu-batan hancur bagaikan debu. Oleh kerana goncangan bumi begitu kuat, manusia tidak dapat duduk diam, isi perut bagai dikocak, rumah-rumah, bangunan-bangunan tinggi runtuh timpa menimpa mencium bumi. Ramai manusia yang terkorban, sawah-ladang dipenuhi lahar dan lumpur panas yang dimuntahi oleh gunung berapi.
Suara letusan gunung memekakkan telinga, binatang-binatang serta manusia mati bergelimpangan. Hutan-hutan musnah terbakar. Pada masa itu, orang akan melupakan anak yang sedang disusuinya. Manakala orang yang hamil akan gugurlah kandungannya pada masa itu juga. Keadaan manusia pada masa itu seperti orang mabuk kerana goncangan bumi yang begitu kuat. Air laut menyimbah ke darat mengaramkan kota-kota dan menjadi hancur berkecai.
Dunia seolah-olah sedang mengamuk kepada manusia kerana dosa-dosa mereka. Sana-sini kedengaran suara jeritan minta pertolongan dan suara merintih. Laki-laki dan wanita berlari-lari seperti orang gila kerana ketakutan. Berhari-hari penduduk dunia berada dalam suasana azab bencana akan kiamat. Siang dan malam bumi bergoyang terus-menerus, sehingga tiada satupun bangunan berdiri tegak melainkan semuanya hancur.
Gunung-gunung terus memuntahkan batu-batu api yang menyala-nyala. Pada masa itu tidak ada lagi perasaan gembira. Di kala itu manusia menjadi lebih hairan kerana matahari yang bersinar terang-benderang dan panas tiba-tiba menjadi gelap-gelita. Ketika manusia dalam kebingunggan, kehairanan dan ketakutan yang tak habis habis, tiba-tiba bintang-bintang yang beribu-ribu jumlahnya di angkasa jatuh ke bumi menimpa apa saja yang berada di bumi.
Sana-sini terdengar ledakan-ledakan hebat yang mengegarkan. Pada masa itu panas permukaan bumi sungguh luar biasa, hinggakan air laut menjadi kering. Dalam pada itu datang pula angin kencang bertiup entah dari mana, angin itu menerbangkan apa saja yang terdapat di bumi. Kemudian pada saat genting itu malaikat Israfil meniup sangkakalanya. Apabila dunia telah hancur sama sekali oleh tiupan sangkakala maka wajah dunia bertukar rupa, di mana seluruh muka bumi menjadi rata dan lapang.

17 March 2011

Seloka : Cinta Di Mata Remaja


Apa nak jadi dengan manusia,
semua benda nak kongsi bersama,
air segelas minum berdua,
konon setia katanya.
Yang lagi dahsyat,
berjalan kemana-mana pun nak berdua,
dah macam tak ada orang lain kat dalam ini dunia,
macam belangkas sentiasa berdua.                                   
Inilah bahana orang bercinta,
bercinta tapi tak tau apa itu CINTA.
Inilah sekarang punya remaja,
maaf andai terkasar bahasa,
bukan mengutuk bukan mengata,
semuanya realiti benar belaka.
Ada yang kata cinta itu buta...betul ke?
Kalau buta dimana matanya?
Ada yang kata cinta itu gila...
macam-macam pengertian remaja,
pening kepala dibuatnya.
Lagi teruk yang kata cinta itu untuk sementara,
untuk buat suka-suka,
untuk seronok-seronok saja.
Ada yang kata cinta itu,
C  - cinta
I  - itu
N - nikmati
T - tubuh
A - anda
tak ke melampau namanya?!
Manusia manusia...
Muda-muda dah gatal nak bercinta,
konon dah cukup remaja,
tapi makan pakai pun mak bapak yang jaga,
dah tak tau nak cakap apa,
kalau ditegur bukannya nak dengar kata,
bila nasihat ada-ada saja jawapannya..
darah muda... macam tu la gayanya...
Mula-mula kenal sms dan chat saja,
bila dah lama kenal mulalah ajak berjumpa
dari berkawan jadi bercinta.
Bila dah bercinta...
Bila dah bercinta macam2 ragamnya,
sesaat tak berjumpa macam setahun lamanya,
itulah kata-kata manis si dia.
Bila berjumpa nak berdua aja,
konon nak privasi katanya,
dia tak tau ada orang ketiga,
yelah benda tak nampak di mata.
Mula-mula bercinta semua cantik di mata,
yang panas pun sejuk katanya.
Manusia manusia...
Inilah permainan dunia...
benar kata orang cinta itu buta,
tapi kalau buta dimana matanya...
Inilah yang buat aku tertanya-tanya.
Cinta tidak akan datang kalau tak dicari,
cinta takkan dapat kalau tak diberi...
Betul ke?
Sukar untuk aku percaya...
Tapi inilah hakikatnya.
Mind is the greatest gift,
gunakan lah sebaiknya.
Cintailah Yang Maha Mencintai...

14 March 2011

Surat Untuk Awak


Salam sayang untuk awak.
Awak,
Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa saya sangat sayang awak. Mereka pun sangat sayangkan awak. Kami tak pernah berasa tidak senang apabila dipertemukan dengan awak. Maaf, mungkin pada mulanya kami agak takut untuk mendekati diri awak. Yelah, awak seperti tidak mengendahkan kami. Seperti tidak mahu bergaul dengan kami yang tidak up to date macam awak ni.
Rupa-rupanya kami juga salah, sebenarnya awak yang malu untuk mendekati kami. Kata awak kami ni terlalu baik, dan awak juga kata bahawa kami ni tak macam awak. Apabila awak berkata begitu, terasa ada percikan api di hati. Bukan percikan api kerana marahkan awak tetapi marahkan diri sendiri. Kami sangat bersalah, kami sepatutnya menegur awak dari mula lagi. Maafkan kami, kami bukanlah yang terbaik tetapi kami akan cuba jadi yang terbaik untuk awak dan yang lain-lain.
Semasa awak mengadu tentang sesuatu, saya cuba mendengarnya. Saya ingin menyelami hati awak. Sebenarnya awak juga baik. Mungkin benar, pengaruh kawan itu penting. Sekiranya kita berkawan dengan orang yang mengajak kita kepada kemungkaran, kita pasti akan terjebak sehingga melupakan-Nya. Itu tandanya iman kita masih belum kuat.
Awak,
Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:" Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu."(al-Bukhari)
01.Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.
02.Solat merupakan tiang agama. Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna dia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna dia telah meruntuhkan agamanya.
03.Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam. 
04.Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka               apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera                       bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.
Saya takut bila awak meninggalkan solat, sedangkan awak sendiri tahu jika meninggalkan salah satu sudah dikira bukan Islam lagi. Jangan malu untuk berubah! Pedulikan kata kawan 'syaitan' awak. Saya masih ingat lagi sewaktu awak menghantar saya ke stesen LRT, saya sudah berjanji di dalam hati ingin berterus terang dengan awak. Ingin sangat saya meluahkan secara berdepan dengan ayat yang tidak berkias. Saya rasa apa yang saya lakukan sebelum ini tidak menjadi kerana setiap kali saya menegur awak secara selingan mungkin tidak memberi apa-apa makna.
Saya juga masih mempunyai kelemahan dalam diri sendiri. Saya juga masih ketinggalan di dalam bab-bab agama, tetapi Alhamdulillah bab yang wajib tak pernah saya tinggalkan. Awak, saya mungkir janji! Saya tidak dapat mengucapkan perkataan itu secara bersemuka dengan awak. Saya sangat tidak berdaya, apakah saya tidak mampu melakukan 'Amar Maaruf, Nahi Mungkar' kepada kawan sendiri. Saya selalu gagal bila ia berkaitan dengan kawan.
Akhirnya, bila tiba di rumah barulah saya meluahkannya secara direct tetapi itupun menerusi telefon bimbit. Awak seperti mengubah topik lain, saya semakin takut. Takut awak akan terasa, tetapi ia adalah untuk kebaikan awak juga. Saya sangat sayangkan awak. Saya tidak mahu awak lalai sehingga melupakan DIA. Awak sebenarnya sangat baik sebab awak ada kesedaran dan tak pernah lari untuk semakin merapati kami.
Kata sahabat saya yang jauh lebih berilmu daripada saya, awak mungkin diberikan hidayah daripada Allah untuk berubah. Dan kami adalah orang-orang yang dipilih-Nya untuk mendekati awak. Kami tidak boleh meninggalkan awak. Kami tidak boleh tidak memperdulikan awak walau sedikit pun. Saya respect dengan sahabat saya itu. Awak, sekiranya awak membaca surat ini saya percaya awak mengerti maksudnya.
Yang Benar,
Kami yang sangat sayangkan awak.