30 August 2010

Sayangkan Kawan Perempuan? Tinggalkan!

"Sayang, sayang... kenapa kita tak pernah keluar berdua?
Tengok diorang tu, pergi mana-mana pun berdua je, sweet kan? Kenapa kita tak macam tu?
Kawan honey kan, nak pergi mana-mana mesti boyfriend dia temankan. Bukan setakat PAUN, nak pergi ‘fotostat' pun boyfriend dia temankan. Sweet sangat! Romantic couple! Kan? Kan sayang kan? Mesti diorang tak pernah gaduh, sweetnyeee.....
Kenapa sayang tak nak keluar dengan honey,teman honey jalan-jalan, shopping... tak macam boyfriend lain buat kat girlfriend diorang? Sayang malu keluar dengan honey ek? Honey tau la honey tak cantik.... Erm....


***IKLAN ABIS, TAPI SEBAB TAK SANGGUP TENGOK CERITA TERSEBUT, TUKAR CHANNEL***
 

"Ustaz, boleh tak sebenarnya lelaki dan perempuan keluar berdua? Tak kisahlah diorang couple ataupun tidak. Boleh tak? Keluar sebab ada urusan kerja ke, saja-saja ke, tapi tak buat apa-apa. Means tak sentuh-sentuh, just borak-borak je..."
 
"Hmm... Drama sebelah tadi pun cerita pasal lelaki perempuan keluar berdua jugak".


**** PENONTON TERCENGANG! ****
 

"Oklah, oklah, ustaz jawab insyaAllah...
Tapi kamu nak ustaz jawab ikut ilmu ke nafsu ke exclusive?"
"Exclusive hape plak tu ustaz?"
"Ok satu-satu ye? Mula-mula,jawapan ikut nafsu dulu. Kalau ikut nafsu, EH, MESTILA BOLEH! BUKAN BUAT APA-APA PUN KAN??!!!?"
"Astaghfirullah terkejut saya, ustaz ni...."
"Hehe... mestila boleh. Kata kamu tadi diorang tak buat apa-apa pun kan? Takpelah, takkan tak boleh keluar berdua kot, nak pergi makan-makan ke, apa ke, ye dak? Lagi pulak kalau ada kerja, ada urusan, apa salahnya berdua, bukannya cakap benda bukan-bukan pun... kan?"
 
"Err, ustaz tanya saya ke tu? saya nak jawab apa ni? Blurr kejap, heh...."
"Tapi kalau jawab ikut ilmu, Nabi Muhammad SAW ajar kita untuk ‘berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Didalam pergaulan sehari-hari antara lelaki dan perempuan. Disebut dalam bab muamalat, ikhtilat. Dalam satu hadith sahih,
 
Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya".
 
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
 
Di dalam riwayat yang lain,
 
Daripada Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya".
 
(Hadis Riwayat Ahmad &Tirmidzi dengan sanad yang sahih)
 
Di dalam surah An-Nur surah yang ke 24 ayat yang ke 30 Allah bagitau,
 
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
 
Ayat lepas tu Allah nasihat kaum Hawa pula untuk menjaga pandangan....

"Sedangkan Aisyah, yang digelar Ummul Mukminin, ibu orang-orang mukmin, pun menggunakan tabir untuk menyampaikan ilmu pada para sahabat yang lelaki setelah kewafatan nabi. Para sahabat yang mempunyai iman setinggi gunung, pun mengambil langkah ‘berjaga-jaga' dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Bukan menyuruh bertabir, tetapi ‘berjaga-jaga' dengan mengelakkan dari ‘berdua'. Kerana lelaki di zaman sekarang tidaklah lebih hebat dari para sahabat, perempuan pula tidaklah setanding iman Aisyah".
 
"Berdua pasti akan ada yang ketiga. Syaitan tidak menghasut playboy sahaja, ulama' pun tidak terkecuali. Cuba bagi seorang perempuan duduk dengan seorang ulama'. Mampu beliau tahan 'fitrah'nya selama setahun? Sebulan? Seminggu? Sehari pun masih ragu-ragu jika tiada ikatan yang halal".
 
"Kalau jawab ikut ‘exclusive', Allah nasihatkan jangan mendekati zina bukan bermaksud jangan berbuat zina. Tetapi Allah bermaksud, jangan ‘pergi ke arahnya'. Sebab? Yang pertama, kamu akan cenderung melakukan zina. Sebab yang kedua,adalah kerana itu akan menimbulkan fitnah".

Cakap-cakap orang...
Apa kata orang bila nampak lelaki perempuan berdua?
Apa terdetik di hati orang yang melihat mereka berdua?
Adakah orang akan tahu mereka berbincang tentang apa?
Adakah orang akan sangka mereka cuma berbual sahaja?
 
"Yang baik akan bersangka baik dengan mereka, ‘mungkin hal persatuan agaknya'...
Tetapi yang tidak baik, apa yang difikirkan mereka?
Inilah yang Allah nak elakkan, ‘peluang-peluang' untuk orang mengata.' Peluang-peluang' untuk orang berdusta. ‘Peluang-peluang' inilah FITNAH".
 
"Fitnah ini tidak memberi kesan pada lelaki.
But women? Kita bercakap soal ‘exclusive'. Seorang perempuan, adalah seperti mutiara yang tersimpan kemas. Mahu menikmati ketenangannya, menyentuh emosinya, mendengar kemanjaannya, merasakan kelembutannya, HARUS NIKAH DULU!"
 
"Kenapa ustaz kata lelaki tidak terkesan dengan fitnah ini? Kerana lelaki bebas untuk ‘touch n go' ".
Sudah jemu? Terpulang untuk tinggalkan, cari sahaja alasan, asalkan dapat yang baru. Yang lama konon-konon masih sayang, tapi di hadapan teman-temannya???
"Perempuan tu ke? Ooh... aku pernah keluar berdua dengan dia dulu. Teman dia pergi shopping."
"Perempuan tu? Alah, senang je nak ajak dia keluar, aku pernah keluar dengan dia dulu..."
"Perempuan tu ke? Haha... Aku dah pernah rasa dah..."
"Perempuan tu? Alah, dia minat aku dulu."
"Perempuan tu??? Nampak je baik tu, bekas aku je dulu tu..."
 
" EVEN DIA TIPU DAN REKA CERITA SEKALIPUN KAWAN-KAWANNYA BUKANNYA TAHU! "
"Di mana kaum hawa ketika itu untuk membela diri dan martabat??
Di mana maruah, hak exclusive seorang suami terhadap isteri jika sudah begitu nilai diri?
Lelaki... Di depan sahabat tunjuk hebat, konon dialah lelaki terdahsyat, pernah mencairkan wanita-wanita memikat.

Perempuan... Biar dikerat empat, lelaki tersayang itulah yang paling jujur dan hebat.
Perempuan... Biar dikerat empat, ‘kawan baik' itulah tempat dia curhat.
Perempuan... Biar dikerat empat, sering terlupa mana mimpi mana hakikat.
 
Lelaki selagi belum jadi suami tetap ada peluang untuk ‘berpisah'.
Kalau ditakdirkan berpisah, badan mahupun ruh, apa tinggal untuk bakal suami?
‘Sayang'? Dah bagi kat boyfriend.
‘Keluar berdua'? Dah bagi kat kawan study group.
‘Suara bangun tidur'? Dah bagi kat abang angkat.
Body'? Malasnya nak tutup-tutup, rimasnya pakai baju longgar-longgar.
‘Muka makeup'? Tiap-tiap kali dinner kot??? "
 

**** TERASA PEDAS, TUKAR CHANNEL ****
 

"Sayang sayang..... sayang sayang sayang?"
" Of course sayang.....sayang saaaaaaaaaaaaaaaaaaaayang sayang!"

(Erk....???? Apakah? Gastric juice is over secreted, help!!! )


**** TUKAR CHANNEL BALIK ****
 

"Amatlah rugi orang yang sudah sampai kebenaran padanya namun dia menolak dengan perasaan bongkak dan benci".
Allah menyebut didalam al-Quran,
 
35 : 24. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.
 
6 : 104. Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).
 
"Ustaz, lelaki memang semua macam tu ke?"
"Mungkin tak semua, tapi perempuan kena sentiasa berjaga-jaga. Elakkanlah ‘fitnah' kepada diri sendiri. Dan lelaki pula, harus hormat martabat dan darjat wanita, jaga dan bimbing mereka ke jalan yang benar...."

 
**** BLACKOUT, TUTUP TV ****

22 August 2010

Pelangi Selepas Hujan



Seringkali hati kecil mengaduh sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada. Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.

Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan. Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.
Pernahkah sekali kita memahami alam?


" Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan? "
 
" Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? "


Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.


" Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam? "

" Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang? "

" Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa? "

" Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu? "


Jawabnya, SENANG.
 
Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintanganlah yang mewarnai kehidupan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan adanya pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran contohnya seperti Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian.



" Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. Insyaallah. "

18 August 2010

Nasib Mereka Tidak Sama


Di kala kita bersuka ria
Bersama merenung bulan purnama di keheningan malam
Di saat kita mengucapkan kata-kata cinta
Di ketika waktu kita bergelak ketawa
Tidakkah terdetik di hati kita
Insan lain harus bertarung nyawa hanya untuk mendapatkan sesaat nafas
Insan lain terpaksa bertarung maut demi pertahankan maruah agama
Demi menjaga nama bangsa kita
Pernahkah kita sedari bahawa semua milik kita hanyalah sementara
Harta, pangkat dan nafsu menjadikan perjuangan kita terbatas





Tidak terdetikkah kita betapa merananya mereka
Mungkin pada zahirnya semuanya nampak kuat
Namun di hatinya siapa yang rasainya?
Mereka membungkus kesedihan lalu dicampakkan ke seberang
Agar mereka bisa berjihad fisabilillah
Tiada yang dapat memusnahkan azam mereka
Sehingga titisan darah yang terakhir
Mereka melaungkan kalimat agung
Kalimah ALLAHUAKBAR!!!
Sehingga bergetar seluruh jiwa raga



Sedarkah kita nasib mereka tidak seperti kita
Kita bermewahan
Mereka hanya berbumbungkan langit
Berlantaikan bumi
Bertingkapkan angin yang bertemankan debu


Mengapa sukar sekali untuk kita bangun hanya untuk menyembah Allah?
Sedang mereka sanggup menyembah Allah sedang dalam keperitan
Sedang dalam kelaparan
Dalam peperangan yang jauh sekali akan tamat






Sedarlah insan
Nasib mereka tidak serupa kita
Doakan mereka
Kirimkan kata-kata semangat buat mereka

16 August 2010

Pohon Wanita Bermadu Rindu

Wahai wanita,
Aku memahami dirimu,
Dan deritamu jua,
Pengorbananmu bukan hak untuk dipersia,
Namun ketika langit mencerah,
Kau sering terpedaya.

Wahai wanita,
Malumu milik puteri,
Pemangkin kekuatan buat suami,
Wajahmu diperhias kerana menanti syurga,
Supaya suami kekal ceria.

Wahai wanita,
Kekurangan perasa kesempurnaan,
Tabir alam dihiasi sekujur tubuh seperti dirimu,
Lelaki hanya menanti si solehah,
Harapan mereka semoga menjadi realiti,
Yang hancur pula terus dipersalah.

Wahai wanita,
Lindungi dirimu dengan suruhan Allah,
Akhlak secantik Rasulullah,
Semulia Khadijah,
Sekuat Siti Sarah.

Wahai wanita,
Perkahwinan penyeri kebahagiaan,
Penghidup segala ketenangan,
Penjauh segala kemurkaan,
Wanita dan pemuda bakal berganding tangan,
Bersama menghidupkan sunnah amalan.

14 August 2010

Pantun: Fikir - Fikirkan






Mudik ke hulu bersama sampan,
Sampan didayung sampai ke tepian,
Ke mana hilang belas kasihan,
Anak dibuang tanpa belaian?



Tangkap ayam di dalam reban,
Pisau tumpul terlupa nak asah,

Bebas berkawan tanpa batasan,
Maksiat berleluasa siapa yang kisah?



Menjadi penyanyi menjadi impian,
Isi borang nak masuk bertanding,

Program hiburan menjadi keutamaan,
Pengisian rohani mampukah bersaing?




Pisang berbuah penuh setandan,
Dimasak pengat berkuah santan,

Di mana hilang perikemanusiaan,
Hingga membunuh sanggup dilakukan?


Tali berpintal ditarik tegang,
Cuba dilerai perlahan-lahan,

Mana hilang amanah yang dipegang, 
Hingga anak sanggup dirosakkan?

13 August 2010

Ilmu Ikhlas

“Mari ku ajarkan ilmu ikhlas.” Kata seorang guru kepada anak muridnya.

“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis,”

“Tak perlu, bawa sahaja karung guni”

“Karung guni?” Kata anak muridnya seolah-olah tidak percaya.

“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka melalui jalan yang berbatu-batu.

“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam karung guni itu." Kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

“Cukup?”

“Belum. Isi sampai penuh karung guni itu.” Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Hanya belegar-legar dan melihat-lihat kemudian beredar ke luar.

“Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?”

“Tidak. Bukankah karung gunimu sudah penuh?”

“Ya,ya…” Kata si murid, agak kelelahan.

“Banyak Beli barang.” Tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan penuh.

“wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli.'' Kata seseorang.

“Agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot," Kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka,si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. “Oh,sungguh letih! Apa yang kita hendak buat dengan batu-batu ini tuan guru?”

“Tak buat apa-apa”

“Eh,kalau begitu letih sajalah saya.” Balas anak murid.

“Letih memang letih tapi kamu dah dapat ilmu ikhlas”

“Ikhlas?” Tanya anak murid kehairanan.

“kamu dah belajar apa akibatnya kalau tidak ikhlas dalam beramal”

“Dengan memikul batu-batu ini?”

“Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi yang memuji kamu banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan,tetap hanya batu-batu.”

“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?

“Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah, yang kamu dapat, hanyalah penat.”

“ya, sekarang saya faham apa akibatnya beramal tetapi tidak ikhlas!” Ujar si murid.


Pengajaran: Ramai manusia yang tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia juga terseksa di akhirat.


Perangkap Tikus.

Sepasang suami dan isteri petani pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam


"Erm, makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar ?".

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah rerangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang. Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik,


"Ada perangkap tikus di rumah....di rumah. Sekarang ada perangkap tikus...."




Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak,


"Ada perangkat tikus !" 

Sang Ayam berkata,


"Tuan Tikus ! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, 




"Aku pun turut bersimpati. Tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku. "

Tikus lalu menemui Sapi. Ia mendapat jawaban sama.


"Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Tak kanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata


"Eleh engkau ni. Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali kerumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena.

Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah. Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya kerumah sakit.

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam. Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...
Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan.
Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.


Doa Ketika ditimpa Musibah 




Maksudnya: "Allah sudah mentakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya."



SUATU HARI NANTI....
KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN 
MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA...
PIKIRKANLAH SEKALI LAGI ! 





12 August 2010

Kerana Dirimu Sangat Berharga.



Saban hari ia dilaporkan
Seolah bukan lagi perkara mengejutkan
Walhal ia bukan persoalan biasa
Ia persoalan hukum, persoalan balasan hari kemudian
Jiwa kecil tidak berdosa menjadi taruhan nafsu tanpa batasan


Wahai jiwa...
Kembalilah kepada asalmu
Kembalilah kepada fitrah kejadianmu
Tanyalah pada diri ke mana akan dibawa masa depanmu
Andai pernah terjatuh dan tersungkur, bangunlah
Belajar agar tidak tersungkur lagi


Usah dicipta alasan untuk berubah
Usah juga akur pada lemah dan kurangnya diri
Bukankah manusia itu makhluk paling istimewa yang tercipta
Kerana padanya ada akal dan hati
Akal yang menimbang baik dan buruk
Hati yang melahirkan kehalusan jiwa
Hati memandu akal berfikir
Namun dalam hati perlu ada iman
Jangan dibiar tandus dan gersang


Usah juga akur pada bisikan yang melemahkan
Kerana untuk menjadi 
nutfah
Perlu yang terpantas, terkuat mengharung rintangan
Nah! kekuatan itu ada dalam setiap jiwa
Sayangi dirimu sebelum mengasihi orang lain





Yakinlah... Masih ada masa
Selagi roh belum terpisah dari jasad
Selagi sangkakala belum ditiupkan
Selagi pintu taubat masih terbuka 



Namun, usah bertangguh
Mulakan dengan langkah pertama
Mulakan dengan nama Allah, Dia pasti bersama



Nikmatilah usiamu
Tapi bukan dalam dosa dan noda
Berusaha bukan berdiam
Bertindak bukan menanti
Kerana syurga itu mahal harganya



Juga
Kerana dirimu sangat berharga…
 

Apa Yang Kau Panggil Cinta?

Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah seindah mimpi yang indah
Kerana ia cumalah bayangan ilusi
Cumalah mainan tidur yang berpanjangan 




Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah satu kebahagiaan yang kau harapkan
Kerana ia cumalah patung permainan
Yang berselerakan di hati dia




Apa yang kau panggil cinta
Bukanlah permata yang seutuh berlian
Ia cumalah kaca nan terang
Cuba menyilaukan pandangan mu di tengah sahara 




Apa yang kau panggil cinta
Barangkali cuma bunga di mata
Dihati seperti duri yang bisa 




Apa yang kau panggil cinta
Cuma logamaya di tengah gurun
Nampaknya indah umpama penyelamat
Sedang ia cuma di kejauhan pandangan 




Apa yang kau panggil cinta
Adalah keindahan yang berseni
Namun lekok-lekok garisannya
Membuatkan ia menjadi jalan panjang yang menakutkan 




Apa yang kau panggil cinta
Cuma indah apabila kau membawa Tuhanmu menyertainya!
 

11 August 2010

Berakhirnya Sebuah Pertemuan.


Kringggg!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat baru bermula. Pelajar-pelajar lain sudah  keluar dari kelas masing-masing dan mula membanjiri kawasan kantin sekolah.

Syuhada hanya mampu menenangkan sahabatnya di sebelah. Dia tahu betapa menderitanya sahabat baiknya itu, namun sebagai insan biasa dia tidak berdaya memberikan bantuan. Hanya sokongan dan semangat yang mampu dihulurkan kepada insan setabah sahabatnya.
 

"Leana, jom kita pergi kantin. Leana kena makan sikit. Nanti Leana kena makan ubat," pujuk Syuhada walaupun dia tahu sahabatnya itu akan  menolak. Muka Leana yang pucat lesi ibarat tidak berdarah itu menggigit tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak kuat melihat keadaan sahabatnya sebegitu. Tanpa disedari kolam matanya pecah juga. Ada tangisan halus yang mengiringi air mata tersebut.
 

"Syuhada, kenapa ni? Janganlah menangis. Leana tak nak kawan-kawan Leana menangis sebab Leana. Lebih-lebih lagi Syuhada, sahabat baik Leana dunia akhirat, Insya-Allah," hati Leana bergetar menahan sendu yang berlabuh. Dia tahu perasaan Syuhada tika itu, namun sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia fana ini, dia akur dan pasrah atas segala takdir.


***********


Perkenalan mereka semenjak minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru membuahkan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini. Mereka amat serasi bersama memandangkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Hidup yang suram gara-gara terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga akhirnya diwarnakan dengan suka duka dalam bersahabat. Leana dan Syuhada sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan mereka berdua.
 

Ramai kawan mereka kagum melihat persahabatan mereka berdua. Keakraban mereka yang boleh diibaratkan sebagai isi dengan kuku itu menyebabkan ramai yang menggelar mereka sebagai adik beradik. Segala susah senang, sakit perit mereka dirasakan bersama. Andai salah seorang daripada mereka sakit, seorang lagi akan turut sakit menahan sebak di hati.
 

Syuhada termenung lagi. Sejak akhir-akhir ini dia semakin bimbang akan kesihatan Leana. Jika dahulu sahabatnya itu seorang yang ceria, kini segalanya seakan berubah. Walaupun ada senyuman yang terukir di bibir Leana, dia tahu segala derita yang ada di sebaliknya. Dia cuba berlagak tenang dan kuat ketika berhadapan dengan Leana tetapi jauh di lubuk hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.
 

"Leana, tadi Cikgu Shahanim ada pesan, kalau Leana sakit, jangan paksa diri pergi kelas, kalau ada apa-apa berlaku susah. Syuhada tak nak something happen kat Leana," kata-katanya hanya dijawab dengan pandangan mata Leana. Seperti biasa Leana hanya membiarkan bibirnya dihiasi dengan senyuman ikhlas yang selalu diukirkannya.
 

"Syuhada, insya-Allah, Leana pun tak nak something bad happen, tapi kita kena ingat, walau apapun yang telah berlaku atau yang akan berlaku, segalanya datang daripada Allah. Kita kena terima dan redha," nafasnya ditarik perlahan sebelum kembali berkata-kata.
 

"Syuhada, maafkan Leana ya, sebab dalam tempoh setahun ni Leana banyak menyusahkan Syuhada, dan terima kasih jugak sebab Syuhada selalu ada di sisi Leana. Jasa dan pertolongan Syuhada selama ni mungkin Leana tak sempat nak balas, hanya.."
 

"Leana, janganlah cakap macam ni. Leana tak menyusahkan Syuhada pun," Syuhada pantas memintas kata-kata sahabatnya itu. Dia tidak sanggup untuk mendengar bait-bait kata yang ingin disampaikan oleh Leana.


 ***********


Seperti biasa keluarga Leana akan datang melawat pada hujung minggu. Syuhada pula akan menemani Leana. Hubungan Syuhada dengan keluarga Leana juga semakin baik hari demi hari. Ibu dan ayah Leana sangat berterima kasih kepada Syuhada kerana telah banyak menolong dan memberikan kata-kata semangat kepada anak perempuan tunggal mereka. Hati ibu mana yang tidak sebak apabila melihat penderitaan si anak. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menjaga Leana sepenuh masa tetapi dia tidak berdaya. Memandangkan Leana bersekolah di sekolah berasrama, mereka sekeluarga pasrah. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya Leana mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Syuhada.
 

"Leana, dengar cakap ibu sayang," ada titis air di tubir mata ibunya.
 

"Leana mesti jaga diri baik-baik tau. Ubat tu mesti makan. Kalau Leana sakit, beritahu ibu, beritahu warden. Kalau boleh ibu nak sangat jaga Leana. Ibu sedih tengok anak ibu tanggung sakit sorang-sorang," pelukan dieratkan diiringi dengan tangisan yang berpanjangan. Syuhada yang tidak dapat menahan kesedihannya juga turut menitiskan air mata . Begitu juga dengan ayah dan adik-beradiknya.
 

"Ibu, insya-Allah, Leana akan dengar nasihat ibu tapi ibu kena janji dengan Leana. Ibu janganlah nangis. Leana tak sanggup tengok ibu nangis sebab Leana. Ayah, jaga ibu baik-baik. Jangan bagi ibu lemah semangat, boleh ayah? Ibu?" ibu dan ayahnya hanya mampu mengangguk lemah.
 

"Syuhada, terima kasih atas segala-galanya. Ibu harap Syuhada boleh tolong tengok-tengokkan anak ibu. Kalau ada apa-apa berlaku, tolong beritahu ibu ye," Syuhada mengangguk perlahan seraya tunduk menyalami tangan milik ibu Leana. Hubungan yang baik antara mereka menyebabkan ibu Leana tidak segan membahasakan dirinya sebagai 'ibu' dengan Syuhada.


*****************


"Leana, kenapa ni? Leana sakit lagi ke?" Syuhada semakin risau melihat keadaan Leana yang semakin teruk. Dia mula hairan dan bimbang jika ada sesuatu yang akan menimpa Leana.
 

"Leana, jom kita pergi hospital. Syuhada tengok Leana dah teruk ni, selalu je sakit kepala, muntah-muntah, kita pergi hospital ok?" Syuhada sudah tidak mampu berlembut dengan Leana. Sudah banyak kali dia cuba memujuk Leana untuk pergi ke hospital. Namun jawapannya tetap sama.
 

"Syuhada, Leana okeylah. Cuma sakit kepala biasa je ni. Nanti lepas makan panadol okeylah," Leana hanya senyum segaris.
 

"Tak boleh. Hari ni Leana kena dengar juga cakap Syuhada. Kita mesti pergi hospital hari ni. Leana tunggu sekejap. Syuhada nak inform  kat warden," pandangan Leana mengiringi langkah sahabatnya.
 

"Dah lama ke sakit ni?" doktor di hadapan memulakan bicara sambil mencatat sesuatu dalam buku laporan kesihatan.
 

"Ermm, agak lama jugak la, tapi dulu tak sakit macam ni. Sekarang ni sakit sangat-sangat. Kadang-kadang tak boleh nak tahan," Syuhada menggengam erat tangan sahabatnya. Dia berdoa agar tiada perkara buruk yang akan berlaku.
 

"Selera makan macam mana? Okey?"
 

"Entahlah doktor tapi sekarang ni memang tak boleh makan sangat, selalu je tak ada selera," doktor mengangguk perlahan sambil meneruskan catatan.
 

"Ermm doktor, maaf mencelah, tapi saya nak tahu kenapa hidung Leana berdarah. Kadang-kadang gusi pun sama," doktor mula memandang Leana.
 

"Kita buat 'blood test' dulu, nanti kita tengok macam mana," Leana dan Syuhada saling berpandangan. Mereka mula merasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena.


**************






"Leana, saya harap Leana akan bersabar, mungkin apa yang bakal saya sampaikan terlalu susah untuk diterima, tapi saya yakin Leana seorang yang kuat,"
 

Berita yang disampaikan oleh doktor agar sukar untuk diterima. Sudah kering air matanya mengenangkan perkara tersebut. Namun, dia beristighfar panjang. Leana sedar segalanya telah ditentukan oleh Allah Pencipta Alam. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Akhirnya dia redha atas segala-galanya.
 

"Hasil dari blood test yang telah dibuat, saya dapati Leana menghidap penyakit leukemia," Leana dan Syuhada sangat terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Bagaikan hendak luruh jantung mereka. Leana hanya mampu memandang Syuhada dengan pandangan kosong yang sukar untuk ditafsirkan.
 

"Pada mulanya saya ingatkan result tu salah. So saya dah buat test tu 2 kali dan hasilnya memang positif. Saya harap Leana  banyakkan bersabar ya," doktor itu dapat melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka. Lidah mereka juga kelu untuk berbicara, mungkin masih terkejut dengan berita yang diterima.
 

"Penyakit ni dah peringkat kedua, dan mungkin kejam kalau saya cakap penyakit Leana ni dah nak sampai peringkat ketiga,"
 

"Kalau kita dapat kesan dari awal-awal, mungkin sempat untuk kita berikhtiar. Leana akan selamat kalau ada sum-sum tulang yang sesuai, tapi sekarang ni, agak susah untuk kita dapatkan sum-sum tulang yang sesuai, tapi insya-Allah, tak mustahil untuk sesuatu berlaku jika diizinkan oleh Allah,"
 

"Leana, Leana!!" Syuhada hairan melihat Leana yang jauh termenung. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh sahabat baiknya itu. Setiap kali dia melihat wajah pucat Leana, pasti rasa sedih bertamu di hatinya. Sebagai hamba Allah yang lemah, dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu diberikan kekuatan dan dipanjangkan umur.
 

"Eh, Syuhada, maaflah, Leana tak perasan tadi," Leana tersedar. Dia tahu dia harus kembali ke alam nyata. Berita tentang penyakitnya yang diterima sejak hampir setahun yang lalu sering mengganggu ketenangannya. Bukan dia tidak menerima takdir Allah tapi dia takut. Dia takut untuk menghadapi sakaratul maut. Bagi dirinya, bila-bila masa sahaja Malaikat maut akan menjemputnya kembali kepada Yang Esa. Mungkin esok, minggu depan dan mungkin juga tahun hadapan. Memikirkan hal itu, dia dirundung kesedihan. Dia sedih kerana andainya telah ditakdirkan dia akan pergi dalam tempoh terdekat ini, dia sudah tidak dapat sujud kepada Allah Ta'ala, dia tidak lagi dapat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Dia juga takut apabila memikirkan adakah cukup amalannya selama ini untuk dihadapkan di hadapan Allah.  


"Ya Allah kau ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, dosa-dosaku, dosa seluruh ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin serta muslimat. Kau matikanlah aku dalam iman dan Islam," detik hatinya.


********************


"Assalamualaikum, Syuhada," hati Syuhada berdegup kencang sebaik sahaja menerima panggilan ibu Leana.
 

"Waalaikumussalam, ibu, kenapa ibu, Leana sakit ke?" Irna semakin gelisah apabila terdengar esakan halus dari corong telefon. Dia tahu ibu sedang menangis.
 

"Syuhada, boleh tak Syuhada datang ke rumah ibu sekarang. Leana, nazak,"
 

Syuhada segera bertolak ke rumah Leana bersama-sama kedua-dua ibu bapanya. Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan bertahun lamanya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Sedaya upaya dia menahan perasaan agar bersabar tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Dia masih ingat pandangan Leana sewaktu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula. Pandangan Leana tika itu memang sukar untuk dimengertikan. Hanya air mata duka yang mengiringi perpisahan mereka saat itu. Kata-kata maaf yang diungkapkan oleh Leana juga masih segar di ingatannya.
 

"Syuhada, maafkan Leana ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Leana. Syuhada mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Syuhada mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Syuhada dengan ayah dan ibu terputus seandainya Leana pergi dulu. Satu perkara yang Syuhada kena ingat, Leana sayang Syuhada, sayang sangat-sangat,"
Syuhada tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis lagi. Kata-kata Leana tempoh hari betul-betul mengganggu fikirannya.


*****************


"Assalamualaikum," dengan lemah salam diucapkan. Langkah Syuhada lemah tidak bermaya. Kedatangannya disambut dengan tangisan dan pelukan ibu Leana. Dia dapat merasakan betapa eratnya pelukan itu. Hatinya pedih, jantungnya pula seakan berhenti berdegup.
 

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya apabila melihat seorang sahabat yang selama ini berkongsi susah senang dan suka duka bersamanya sedang terbujur kaku. Fikirannya ketika itu kosong. Bukan senang untuk menerima kenyataan itu. Kenyataan yang ternyata pahit untuk ditelan. Namun, dia pasrah dan redha dengan takdir Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman, dia mesti kuat dan bersabar menghadapi ujian hidup. Kata-kata arwah Leana kembali menerpa ingatannya.
 

"Syuhada, maafkan Leana ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Leana. Syuhada mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Syuhada mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Syuhada dengan ayah dan ibu terputus seandainya Leana pergi dulu. Satu perkara yang Syuhada kena ingat, Leana sayang Syuhada, sayang sangat-sangat."
 

"Insya-Allah Leana. Syuhada mesti kuat. Syuhada mesti tabah dan Syuhada pun sayangkan Leana. Sayang sangat-sangat," getus hatinya.


************


Arwah Leana sudahpun selamat dikebumikan. Perasaan sedih masih setia bertamu di hatinya. Dia masih ingat betapa susahnya untuk mencium dahi arwah Leana gara-gara air matanya yang tidak henti-henti mengalir. 'Sejuk'. Itulah yang dirasakannya  sewaktu mencium dahi arwah buat kali terakhir.
 

"Syuhada," dia tersedar dari lamunan. Ibu Leana di sebelah dipandang sayu. Apalah sangat kesedihannya jika dibandingkan dengan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Syuhada dapat melihat tubir mata ibu Leana masih digenangi air jernih.
 

"Ya ibu," tangan si ibu digengamnya seerat mungkin.
 

"Ibu jumpa surat ni atas meja arwah, untuk Syuhada," dalam sebak ibu Leana menuturkan kata-kata.
Tangannya terketar-ketar semasa membuka lipatan surat itu. Surat terakhir daripada seorang sahabat. Tanpa dapat ditahan, kolam matanya pecah lagi. Bagaikan baru semalam mereka dipertemukan, kenangan mereka bersama masih segar di ingatan.

Buat sahabatku Syuhada.

Assalamualaikum,

Leana bersyukur sangat-sangat sebab Allah telah mempertemukan kita, walaupun pertemuan kita hanya sekejap cuma tapi Leana tetap berterima kasih kepada Allah sebab melalui Syuhada, Leana berpeluang mengenali erti sahabat sejati Syuhada. Maafkan Leana atas segala kesilapan yang pernah Leana lakukan sepanjang persahabatan kita. Sebenarnya Leana pun dah tak tahu nak tulis apa. Kepala Leana sakit sangat ni tapi Leana tak nak tinggalkan Syuhada tanpa kata. Kalau boleh Leana nak sangat jumpa Syuhada. Takut nanti tak sempat. Mungkin sekarang ni Leana dah dipanggil menghadap Ilahi. Kalau boleh, Leana nak tengok Syuhada sebelum kita berpisah buat selama-lamanya tapi Leana  juga nak minta maaf kalau Syuhada hanya sempat tengok jasad kaku Leana. Bukan Leana nak tapi ingatlah mati itu pasti bagi setiap manusia. Leana harap, Syuhada akan bersabar. Tolong doakan Leana di sana ye. Sebenarnya, Leana takut sangat Syuhada. Leana takut mati. Leana takut amalan Leana  tak cukup tapi apakan daya, Leana dah tak boleh nak buat apa kalau dah takdir Leana akan pergi dulu. Cuma Leana harap Syuhada teruskan impian kita untuk jadi wanita solehah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah ibadah dan perintah Allah selagi masa masih ada sebab kita tak tahu bila sebenarnya ajal maut kita. Ingatlah sahabatku, kematian tidak akan menunggu sehingga seseorang itu bersedia untuk menghadapinya.

Buat tatapan Syuhada, Leana sempat tuliskan lirik lagu nasyid yang kita suka. Hayatilah setiap bait kata-kata yang ada pada lirik ni. Akhir kata doakanlah Leana di sana. Wassalam.

SEBUAH PERTEMUAN


Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

 
Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau nsanea rahmat-Nya mengatasi segala

 
Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

 
Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
  Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
  
  Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

 
Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

 
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman


Surat itu dilipat kembali. Matanya basah dengan air mata.
 

"Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," doanya di dalam hati.
 

"Semoga Syurga menjadi milikmu, sahabatku. Walaupun pertemuan kita di dunia fana ini telah berakhir, Syuhada berdoa agar kita dipertemukan kembali di Jannah-Nya. Amin."




Ujian ALLAH: Tanamkan Sifat Sabar



Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.
 
Hah. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.
 
Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.

Ujian Allah = Kasih Sayang-Nya
 
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya. Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.
 
Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.
Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.
 
Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu.
 
Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.



Hamba Allah Mudah Lupa


Sabar : Orang-orang Yang Hebat
 
Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.
 
Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.
 
Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.

Pesanan buat diri saya sendiri. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.

 
Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang melalui pandangan rahmat-Nya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, Insyaallah.
 
Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.
 
Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihempas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.
 
Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.

Kita Semua Adalah Pejuang
 
Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang!  

Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah, perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah. Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak. Semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa.
 
Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.

Pejuang Hidup Kerana Berjuang!
 
Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuangan. Seorang pejuang tidak boleh berputus asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.
 
Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang di jalan perjuangan ini.
 
Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu. Aku wajib! Kerana, aku hanya mendambakan redha Allah. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga.