24 June 2010

Rama - Rama dan Wanita


Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda,warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.

Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar, indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. postman-butterfly Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.

Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.

Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.

23 June 2010

Buat Muslimah.



Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."
Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. 

Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. 



Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:


"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl:53.....





RENUNGILAH IA BUAT MU MUSLIMAH....


Kasut & Syukur


“Eh, mana kasut aku ni! Erm, siapalah yang curi?”. 

Ngomel aku di dalam hati setelah selesai menunaikan solat di masjid. Setelah mencari di sudut-sudut lain sekitar masjid aku terjumpa kasut ku.

“Alhamdulillah..” (sambil masih mengomel di dalam hati 'siapalah yang guna kasut aku ni..').

Ada beberapa perkara yang ingin saya lontarkan pandangan dalam realiti kehidupan yang berlaku di atas. Pertama, manusia memang selalu tidak puas hati. Dan yang kedua manusia tidak letakkan kesyukuran itu seratus peratus pada Allah.

Bukankah setiap yang berlaku itu dalam pengetahuan Allah, hatta pergerakan sehelai daun yang jatuh di dalam hutan tropika yang tidak pernah dimasuki manusia pun dalam kawalan dan pengetahuan Allah. Setiap sudut ‘yaw, pitch, roll’ jatuhnya daun itu dalam perancangan Allah. Begitu juga dengan hilangnya kasut kita itu.


“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan.
Segala Yang ghaib, tiada sesiapa Yang mengetahuiNya melainkan Dia lah sahaja;
dan ia mengetahui apa Yang ada di darat dan di laut;
dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya,
dan tidak gugur sebutir bijipun Dalam kegelapan bumi dan tidak gugur Yang basah dan Yang kering, melainkan (Semuanya) ada tertulis di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang terang nyata” 

(al-An'am : 59)

Ia adalah ujian, setiap yang berlaku adalah ujian dari Allah. Bagaimana kita berhadapan dengan ujian ini bergantung pada keimanan kita.

Pernahkah kita bersyukur setiap kali kasut kita ada apabila kita selesai solat? Jarang bukan..kita bersyukur apabila hak kita yang hilang dikembalikan semula (itupun dengan ngomelan..). Jika hak kita tidak dikembalikan, bagaimana? Tapi kita lupa untuk bersyukur setiap detik ketika mana Allah menjaga hak kita... “Alhamdulillah kasut aku masih ada..”.

Begitu juga dengan semuanya yang kita ada, kerana ia semua hanyalah pinjaman daripada Allah.


“..Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri..”
 (Luqman: 12)





Bersyukurlah selagi kita berpijak di daerahNya.

17 June 2010

Judi Mengundang Permusuhan Dan Pergaduhan.


Pada masa kini, kes perjudian sering dipaparkan dalam media massa. Keadaan ini mempamerkan bahawa ia bagaikan sesuatu yang sukar dibendung. Ini kerana kemunculannya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Malah judi tersebut menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan demi untuk menarik minat ramai orang. Dengan bermatlamatkan untuk dapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai tegahan syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90).
Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Tidak sedikit pun mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad, serta merosakkan perangai dan budi pekerti seseorang.
Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah telah mencelup tangannya ke dalam daging dan darah babi” (Riwayat Muslim).
Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada sedikit atau banyak dan kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacammacam, pelbagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dan dosa besar.Cara Salah Cepat Kaya
Walaupun Islam mengharamkan judi sejak awal lagi, tapi masih ada di kalangan Muslim yang melibatkan diri dengan judi. Seperti membeli tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan cara mudah atau ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.
Mereka terpikat dengan hadiah atau ganjaran yang tinggi. Misalnya, dengan membuat pertaruhan sebanyak sepuluh ringgit, mereka berpeluang mendapat wang berpuluh-puluh ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, pergi melakukanpemujaan di kubur-kubur lama dan pokok-pokok besar. Ada juga yang mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor daripada mimpi dan sebagainya.
Pada tanggapan mereka hal ini dapat mendatangkan tuah dan keuntungan. Demikianlah keadaan seseorang yang sudah menjadi kaki judi atau hamba judi, mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun ia bertentangan dengan agama demi untuk mencapai hasratnya. Allah SWT menerangkan bahawa judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa.
Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Judi juga adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika kalah pada kali yang pertama, dia akan merasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi.
Apabila beroleh kemenangan pula dia akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting seronok main judi sehingga sanggup bergadai dan berhutang walaupun dapur rumah tidak berasap.

15 June 2010

Opppsss! CCTV di Mana-Mana.

Teknologi semakin berkembang maju. Di bank, bangunan-bangunan besar semuanya menggunakan alat kawalan keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kecurian, atau sesuatu yang tidak diingini.

Tetapi sejauh mana alat berteknologi canggih ini seperti CCTV mampu mengawal serta mengenalpasti pencuri mahupun perogol atau sebagainya dengan jelas? Tidak semua bukan?

Sedarkah anda, sebelum penciptaan CCTV dan sebelum penciptaan manusia lagi sudah wujudnya 'CCTV' yang tidak pernah rosak dan berada di mana-mana sahaja.


Wahai muda-mudi sekalian,

Seronok bukan berbuat maksiat di hotel-hotel, di dalam hutan, di rumah kosong, di rumah sewa, di dalam panggung wayang. Ah! Tak siapa yang nampak, apa yang perlu ditakutkan. Ingatlah, mata, tangan, kaki, hatta alat sulitmu, malah meja, katil, rumah, pokok dan apa yang ada di sisimu ketika kau berbuat maksiat, semuanya adalah 'CCTV' yang akan menjelaskan segalanya di akhirat. Tidakkah engkau takut wahai remaja. 
JELAS dan NYATA. Tidakkah kau berasa malu di hadapan Allah nanti.

Telah Allah berikan nikmat mata, nikmat tangan, kaki, dan yang paling berharga nikmat hidup dalam Islam, tetapi kau tidak gunakan sebaik mungkin. Tak cukup dengan dosa berbuat maksiat, kau tambahkan pula dosa membuang bayi, lebih dahsyat kau sanggup pula membakar bayi yang tidak berdosa itu. Tak mengapa, mungkin sekarang kau terlepas dari dihukum di dunia. Tapi ingat!! Kehidupan kau tak akan tenang, dan kau akan lihat sendiri semua yang memandang kau membuang bayi itu, burung, masjid, tong sampah, lipas atau tikus akan menjadi 'CCTV' di akhirat. 


"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun maka dia akan melihat balasannya." (Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8)




Wahai ibubapa,

Sedih bukan melihat bayi dibuang dibakar dengan tragis sekali? Tetapi sebenarnya sedih lagi jika kita sebagai ibubapa tidak mampu menjadi ibubapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak agar menjadi anak soleh dan solehah. Sedih lagi jika kita membiarkan anak-anak kita berpakaian ketat, tidak bertudung, merempit, bergaul bebas, kerana inilah pencentus terjadinya zina dan akan menyebabkan lahirnya anak luar nikah dan seterusnya pembuangan bayi pun berleluasa. Ingatlah, sebagai ibubapa, kita wajib mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna dan bertakwa. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga dalam mendidik anak-anak. Jadilah contoh yang terbaik buat mereka sebagai garis panduan kepada mereka. 


"Wahai anakku! Laksanakanlah SOLAT dan suruhlah manusia berbuat yang makruf dan cegahlah mereka dari yang mungkar, dan bersabarlah menghadapi apa yang menimpamu." (Surah Lukman)


Wahai para pengumpat,

Tidak takutkah engkau pada setiap apa yang engkau perkatakan? Allah benci pada dirimu kerana sifatmu yang suka membuka aib orang lain. Dari umpatan akan menjadi fitnah. Tak cukup dengan dosa umpatan ditambah pula dengan dosa fitnah. 


"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela" .."Pasti akan dilemparkan ke neraka Hutamah" (Surah Al-Humazah)

Ingatlah wahai semua insan, selagi kita masih hidup berbuatlah amal kebajikan.Sesungguhnya, Allah menyukai insan yang mampu menutup keaiban orang lain. Berkatalah apabila perlu, kerana diam itu lebih baik dari berkata yang sia-sia. Hiasi bibirmu dengan zikrullah , sempurnakan solat 5 waktumu, tunaikan kewajipanmu sebagai hamba Allah.

Bertaubatlah sebelum kita terlambat. Sesungguhnya dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin yang sentiasa mengawal nafsu dan godaan syaitan.




"Hadiah berharga bagi orang mukmin adalah kematian."
(Riwayat Ibnu Abiddunya, Al-Tabrani dan Hakim)



Janganlah kita teperangkap dengan "CCTV" yang kita cipta sendiri di dunia. Kerana kita akan lihat segalanya semula di akhirat.  Dan sesungguhnya akhirat adalah penjara bagi insan yang tidak mengikut suruhan-Nya dan melakukan apa yang dilarang-Nya.


"Sesiapa yang tidak senang menemui Allah, maka Allah pun tidak senang menemuinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Fitnah Wanita.



Titian dunia ku susuri satu persatu,
Bertatih dalam kandungan ibu,
Menghibah dunia destinasi ku,
Manusia dan makhluk dunia teman hidup ku.
Usia menjangkau masa berlalu jua, Terasa usia ditelan dunia,
Ramuan suka duka menjadi santapan jiwa,
Pengalaman jiwa yang cukup bermakna.
Lahir membawa identiti rupa, Wanita menjadi ketentuan YANG MAHA ESA.


Dugaan datang meneroboh jiwa,
Satu persatu meruntun kalbu terasa.
Bait bicara cuba di jaga, Kerna diri membawa identiti rupa.


Mungkin ada khilaf terselit jua,
Hingga fitnah di tabur merata-rata.
Wanita dan diri ku sentiasa bersama,
Tidak terpisah selama-lamanya, Justeru, ku lestarikan warkah untuk semua.


Moga mampu mencuit rasa.
Saat jiwa direntap rakus, Mata berkaca jua menerus,
Terasa pandangan lurus,
Akal bermain kata tanpa terurus.






Wanita,


Pemakaian kalian bualan manusia,
Dicemuh merata perbandingan akal dunia,
Sikap dan pemakaian menjadi santapan nilaian manusia,
Tafsiran akal bermain kata,
Mulut mula membicara,
Hati mula meluah rasa,

Segala dibongkar menghina jua,
Sempurna ingin dilihat di mata,
Namun, ketahuilah manusia,
Khilaf diri itu pasti.


Wanita,


Fitnah diri senjata hati,
Membunuh jua wanita kini,
Namun, itu menjadi santapan kini,
Fitnah ditabur meruntun kalbu diri.


Wanita,


Diri mu dan diri ku satu.
Harus ku semai cinta bersama,
Cuba menjaga diri jua,
Dalam meniti bahtera dunia,
Ada khilaf diri terselit bersama.
Justeru, Ku jatuh berlabuh berlutut,
Memohon khilaf untuk semua,
Semua nya takkan sama lagi seperti biasa.


Mungkin yang terbaik
Perlu ku undur diri dari semua,
Meninggalkan kalian untuk selama-lamanya.
Namun, diri ku tetap memberi,
Walaupun dalam duka dan perit di hati,
Kerna untaian bicara sahabat sejati,
Menjadi pegangan di hati.


Lelaki dan wanita,
Sesama kita bergelar insan,
Punya mulut untuk berkata.
Justeru, ku mohon dari kalian semua,
Penghinaan diri lestarikan kepada Si Dia,
Bukan ditabur merata-rata.



Akhir tinta ku di sini.:)

12 June 2010

Mata Oh Mata, Mengapa Kau Liar?

Babak 1

Yusof : Kau tahu tak, Zetty tu dulu free hair.. Tiba-tiba je datang kesedaran nak pakai tudung.
Amirul : Ye ke??!! macam tak percaya je..
Yusof : Ha ah.. ok gak la.. dalam majalah sekolah ada lagi gambar dia.. kau nak tengok?

Babak 2

Pada suatu hari Sop dan Meon sedang berjalan-jalan di kotaraya London. Tiba-tiba mereka terlihat kelibat seorang wanita bertudung labuh ala-ala KCB. 

Yusof : Eh, ada gadis mcam dalam KCB la...
Amirul : Mana? Mana? Mana?
Yusof : Tuuu...tengah jalan ramai2 depan Madame Tusod..
Amirul : ooooooo..... macam kenal, yang pakai tudung warna merah jambu tu ke?

Babak 3

Sop dan Meon menyambung kembara cuti Easter mereka di bandaraya Dublin. Cuaca semakin panas.

Yusof : Astaghfirullahal azim, singkatnya skirt minah saleh tu. Tak solehah langsung!
Amirul : Eh ye ke? yang mana satu?  Yang skirt oren tu ke?
Yusof : Tak, yang blouse biru muda tu..
Amirul : Iye la, betul la cakap kau.


Ada apa dengan mata?

Untuk jadi hebat, kita perlu menutup dan menundukkan pandangan. Ini bukanlah bermaksud semuanya kena pejamkan mata 24 jam (penat juga tu), atau membina dinding dan tembok batu sepanjang masa atau semasa kuliah-kuliah agama sahaja, tetapi menjaga dan memelihara kedua mata kita daripada MENJADI LIAR.

Apabila datangnya peluang terbentang di hadapan kita, samada semasa sedang berseorangan, atau sedang berdua bersama rakan karib, atau bersama masyarakat umum, kita mestilah bertindak SEGERA dan PINTAR untuk tidak mengamati kecantikan wanita yang terbentang dan segeralah mengalihkan pandangan daripadanya sambil bersyukur dan beristighfar.

''Alhamdulillah, Allah jaga mata dan hati aku. Ya Allah, ampunlah dosa aku, moga Allah beri yang lebih baik''

Allah berfirman;

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." - [67:12] 

Kalau dahulu dia tidak bertudung, atau kurang menutup aurat, perlukah kita menatap gamabr gambar 'lama' itu lagi? Fear Allah brothers... malulah sebab mereka itu sudah diberikan hidayahnya.. Kita bila lagi?

Kalau ternampak kelibat wanita yang berjilbab dan menutup aurat samada di majlis ilmu atau di jalanan, malulah dan pandanglah tempat lain. Itu bukan HAQ mu.. Allah boleh ganti dengan yang lebih baik.

Kalau diberikan peluang melihat aurat wanita, takut dan malulah, kerana itu akan merendahkan darjat matamu dan merosakkan amal, sekaligus hati menjadi lali dan tidak tenteram.

*SISTERS, WE NEED COMPLEMENTARY ACTIONS*

Pasir : Antara Kaca Dan Tanah Liat.

Perbualan hari ini bermula dengan kesugulan dan keraguan. Penuh penyesalan yang tidak keruan.

“Aji, aku nak cakap sikit la”, bisik sang teman nada keluhan.

“Kenapa? Cerita la kat aku. Meh cite meh…”, balas saya cuba menenangkan keadaan.

“Aku rasa tak bersemangat la nak bawak dakwah ni… Perangai aku tak elok, percakapan aku selalu menyakitkan hati orang…”


“Perangai tak elok? Yeke? Apa yang percakapan ko yang menyakitkan hati orang?”, terkejut mendengar aduan begitu keluar dari mulut sang adam yang sopan dan lembut orangnya…

“Tak tahulah… sedar-sedar esoknya dah tak nak kawan aku dah. Tak nak cakap dengan aku dah…”
“Aik? Perempuan ke? Terlebih sensitive kot…???”, cuba meneka dan menembak sahaja.

“Tak… Lelaki…”, ada riak kecewa dan sedih di kerut wajahnya. Saya faham benar perasaan dan jiwanya, tak sanggup memalukan dakwah dengan kekurangan dan kekhilafannya. Tidak mahu memalukan Islam dengan ketidaksempurnaan dirinya. Tetapi dia terlalu rapuh untuk itu.




Namun di suatu sisi lain kehidupan seharian…

“Apa yang mereka ingin aku ubahkan? Apa yang ingin mereka tegurkan? Mereka tidak tahu cara nabi dan sahabat bukan hanya dengan kelembutan. Setiap insan punya kegemaran, kalau tidak gemar dengan cara aku janganlah dengar apa yang aku cakapkan. Pergilah cari insan dakwah yang penuh kelembutan! Aku begini dengan matlamat dan tujuan, bukan sengaja berdondang sayang meminta pujian!”, tegas seorang teman penuh keyakinan.

“Bukan suruh jadi lembut dan tak kena cara, cuma jangan biar objek dakwah lari dari Islam kerana kekurangan dan kesilapan kita, itu sahaja…”, nasihat saya buat orang agama.






Manusia ibarat pasir.
Boleh dijadikan sekeras dan setajam kaca.
Boleh juga dijadikan selembut dan se’gemalai’ tanah liat.
Umat ISLAM umat pertengahan.
Tiada istilah ekstrimis dalam agama.




“Hari ini aku rasa lebih ‘feel’ untuk beribadat, aku mahu menambah bilangan sujud dan rakaat!”


“Kita harus berpuasa setiap hari untuk mendapat keredhaan dan ruh ilbadah yang sejati”


“Kita harus membayangkan nama-nama Allah sebelum kita menyuap makanan ke mulut supaya kita makan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan tentang saudara-saudara kita yang kelaparan.”


“Jika kau tidak mampu menandingi cinta Allah padaku, janganlah mengharapkan cinta dari diriku”.


“Nabi manusia paling agung pun beribadat dengan banyak, maka aku harus beribadat tanpa henti untuk mendapat kasih sayang Allah”.


“Aku mahu berpuasa dan tidak mahu berbuka”.


“Aku mahu beribadah dan tidak mahu tidur”.


“Aku ingin mentauhidkan Allah dan tidak mahu kahwin”.

Namun sesungguhnya nabi kita pernah bersabda,


“AKULAH ORANG YANG PALING TAKUT PADA ALLAH, namun aku juga tidur dan berkahwin, barangsiapa yang membenci Sunnahku, dia bukanlah dari kalanganku” 
– riwayat Muslim.


Berlebihan didalam ‘kekurangan’ juga tidak digalakkan. Apatah lagi yang sengaja meringan-ringankan. 





“Solat yang wajib je dahla, yang lain kan sunat je…”


“Tidak perlulah kita menunjukkan kebaikan, bukankah Tuhan faham niat dan keikhlasan dalaman?”


“Orang-orang Palestin tak perlukan apa-apa pertolongan, cukuplah kita hanya sedekahkan doa harian”


“Nabi kan utusan Tuhan, mana boleh lawan… Buat biasa-biasa dahla, tak payahla nak alim sangat”


“Kalau Tuhan mahukan kebaikan dan kemenangan, Tuhan mampu buat dengan sekelip mata, kita doa dan serahkan sahaja pada Dia, apa yang nak di sibuk-sibukkan…”



“Syurga neraka kan dah ditentukan, apa yang nak dirisaukan. Kalau syurga, syurga juga. Kalau neraka, neraka juga, enjoy je la kehidupan selagi ada nyawa di badan.”


“Percayalah pada Tuhan, kita pasti diberi kemenangan”



“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka”
-QS 13:11



Setiap yang berlebihan itu pasti banyak keburukannya. Berlebihan dalam terasa, mahupun berlebihan dalam tidak terasa. Berlebihan dalam beramal, mahupun berkurangan dalam beramal.
Buat teman yang sedih dengan teguran tentang kekurangan dan kesilapan diri, anggaplah ia sebagai peringatan dan tauladan. Mungkin ada yang ‘gentleman’ dan berdepan memberi teguran, tapi mungkin juga ada yang ‘kasar’ dan suka memerli dalam menyampaikan. Namun itu semua lumrah dalam kehidupan insan, perlu diingatkan dan disampaikan.


Buat teman yang tidak selesa dengan teguran tentang kekurangan dan kesilapan diri, insaflah dengan bantuan iman. Jangan biarkan syaitan merasuk pemikiran, menghasut insan bangga dengan segala kelakuan.


ISLAM AGAMA PERTENGAHAN,  Semoga kita MERENDAH DIRI dalam ketinggian ciptaan,
dan
 MENINGGI DIRI dalam mencontohi insan utusan!