11 August 2010

Ramadhan Datang Lagi!


“Ramadhan kali ini aku nak cuba baiki diri. Lama dah rasanya tak buat amalan sunat. Rasa diri ini tak pandai menyambut Ramadhan. Tapi kali ini aku nak cuba agar sejarah silam tak kembali lagi…”

 
Bulan Islam

 

Mungkin itulah kata hati kita apabila tibanya malam pertama Ramadhan kali ini memandangkan Ramadhan yang lepas disia-siakan. Adakalanya terasa juga ruginya umur remaja dijadikan masa untuk bersuka-ria sahaja. Sibuk dengan kawan-kawan, enjoy sana, enjoy sini hingga syariat Tuhan diabaikan. Tuhan semakin ditinggalkan apatah lagi nak dicintai. Huh… sibuk benar mengejar dunia yang sementara saja.
 
 
Ramadhan yang sarat dengan janji pahala dan keampunan tidak layak untuk kita sia-siakan. Sesungguhnya puasa zahir ditandai dengan berakhirnya siang, iaitu ketika mulai tenggelamnya matahari di tempat istirehatnya. Semasa berbuka lupa Ramadhan sekejap, rasa dunia ini dia yang punya, pelbagai jenis air, bermacam-macam warna dan rasa, kuih tak tau la berapa jenis, belum lagi lauk pauk. Pendek kata tak ada ruang lagi la atas meja tu. Akhirnya semua itu akan dimasukkan ke dalam tong sampah kerana perut tak dapat menampung beban makanan yang masuk…membazir bukan.
 
Akan tetapi puasa orang-orang yang dekat dengan Tuhan, tidak berpenghujung. Tidak dimulai dengan syuruk dan tidak diakhiri dengan ghurub. Tidak dapat dihitung dengan bilangan jam dan batasan waktu. Malah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengharap reda Allah. PUASA MEREKA DIIRINGI DENGAN RASA BERTUHAN YANG MENDALAM DAN RASA HAMBA YANG MEKAR MEMBUNGA. Dirasakan Ramadan inilah rahmat dan kasih sayang Tuhan itu melimpah-ruah.
 
 
Pernah Rasulullah SAW, manusia yang agung bersabda: “Ada orang yang berpuasa tapi tiada baginya pahala, yang dapat hanyalah lapar dan dahaga”.
 

Ingatan ini mesti dijaga agar ibadah puasa kita tidak rosak dan sia-sia walaupun tepat syarat dan rukunnya.
Selanjutnya Rasulullah SAW memberitahu kita supaya banyakkan ibadah di bulan puasa kerana balasannya sungguh istimewa. Ia bulan pengampunan dosa juga bulan dikabulkan doa. Terhimpun kebaikan padanya. Syurga rindu orang yang memuliakannya.
 
 
Bagi orang yang menghayati Ramadhan yang diberkati, puasanya akan berkesan dihati hingga membina peribadi.
Nabi SAW bersabda: “Siapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan reda Allah, akan diampuni dosanya yang terdahulu dan kemudian”
 
 
Inilah puasa yang hakiki..
Oh Ramadhan…kedatanganmu kurindu..kehadiranmu menggamit ketenanganku. 
 
 
Glosari:
1) syuruk: waktu terbit matahari
2) ghurub: waktu terbenam matahari

21 July 2010

Kata Orang...........

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikutnya daripada belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang pun berkata:

"Lihat itu, orang yang tidak bertimbang rasa, membiarkan anaknya berjalan kaki."

Setelah mendengar desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya diatas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang dikawasan itu berkata:

"Lihat orang tuanya berjalan kaki, sedangkan anaknya sedap menaiki himar. Sungguh kurang adab anaknya itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, maka Luqman pun naik keatas himar itu bersama-sama anaknya. Kemudian orang ramai berkata lagi:

"Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himarnya itu, kemudian terdengar lagi orang berkata:

"Lihat 2 orang yang berjalan kaki, sedangkan himar itu dikenderaikan, membazir."

Dalam perjalanan ke rumah, Luqman Al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya:

"Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka, orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan ALLAH sahaja (pandangan manusia boleh diambil). Barangsiapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."

24 June 2010

Rama - Rama dan Wanita


Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda,warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.

Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar, indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. postman-butterfly Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.

Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.

Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.